
KUALA LUMPUR, 3 November – Kerajaan memperkenalkan sistem pengimbas keselamatan berteknologi analitik kecerdasan buatan (AI) di lapangan terbang bagi meningkatkan keupayaan mengesan penyeludupan dadah yang semakin licik.
- Mesin pengimbas sedia ada guna teknologi lama tumpu pengesanan bahan letupan, senjata dan logam, kurang berkesan terhadap pengesanan dadah.
- Sistem analitik AI dimulakan sebagai projek perintis di KLIA; sindiket dipercayai beralih ke lapangan terbang lain seperti Pulau Pinang, Alor Setar, Kota Bharu, Ipoh.
- Pemeriksaan keselamatan dipertingkatkan kepada 100 peratus disokong CCTV berteknologi AI dan pengembangan unit anjing pengesan K-9 di kawasan bagasi.
- Langkah ini bertujuan memperkukuh kawalan pintu masuk udara dan mengekang kegiatan penyeludupan dadah yang menggunakan taktik semakin canggih.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu perlu memandangkan mesin pengimbas sedia ada menggunakan teknologi lama yang lebih tertumpu kepada pengesanan bahan letupan, senjata dan logam, berbanding bahan terlarang seperti dadah.
Menurut beliau, sistem analitik AI baharu itu mula digunakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai projek perintis.
“Kemudahan pengimbas sedia ada menggunakan teknologi lama, sedangkan taktik penyeludupan dadah kini semakin canggih dan ada kalanya sukar dikesan menerusi peralatan konvensional.
“Justeru, kerajaan menyediakan sistem analitik baharu yang lebih canggih bagi meningkatkan keupayaan mengesan dadah. Kemudahan itu telah mula digunakan di KLIA, namun sindiket penyeludupan kini dipercayai beralih ke lapangan terbang antarabangsa lain, termasuk Pulau Pinang, Alor Setar, Kota Bharu dan Ipoh, khususnya yang menawarkan penerbangan ke luar negara.
“Oleh itu, kemudahan teknologi dan analitik berkenaan perlu diperluas ke lapangan terbang lain bagi memperkukuh keupayaan pengesanan serta mengekang kegiatan penyeludupan dadah.
“Dengan penggunaan peralatan baharu ini, diharapkan kegiatan berkenaan dapat dikurangkan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Wira Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail mengenai usaha kerajaan memperkenalkan teknologi dan kaedah pengesanan baharu bagi membanteras penyeludupan dadah di lapangan terbang.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, pemeriksaan keselamatan kini dipertingkatkan kepada 100 peratus, selain disokong penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi AI serta peluasan unit anjing pengesan (K-9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan pengasingan bagasi.
Usaha itu merupakan sebahagian daripada langkah memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk udara negara, selain memastikan taktik penyeludupan yang menggunakan kaedah semakin canggih dapat dikesan dengan lebih berkesan.