Latif Romly intai rekod dunia baharu di Glasgow

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly memasang impian untuk melakar sejarah baharu apabila menyasarkan rekod dunia miliknya sendiri pada penampilan sulung acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) di Sukan Komanwel Glasgow 2026, yang berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persediaan Abdul Latif kini 95 peratus dan bebas kecederaan menjelang temasya.
  • Mencatat lompatan 7.76 meter di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, mengatasi rekod dunia 7.67 meter yang dicipta tahun lalu.
  • Jurulatih Eryanto Bahtiar anggap Abdul Latif sandaran utama negara untuk pingat emas berdasarkan prestasi konsisten.
  • Malaysia juga mempertaruhkan Eljoe Gotuoh untuk lompat jauh T20 dan Muhammad Noorhelmie Mohd Rabi untuk 100 meter T12.

Juara dunia para lima kali itu menyifatkan peluang menyaksikan acara berkenaan dipertandingkan buat pertama kali selepas dua edisi terdahulu tidak disenaraikan sebagai motivasi tambahan untuk memberikan aksi terbaik di pentas antarabangsa.

Menurut Abdul Latif, tahap persiapannya kini berada pada tahap 95 peratus selain bebas daripada sebarang masalah kecederaan menjelang temasya tersebut.

“Sasaran saya di Sukan Komanwel ini adalah untuk memecahkan rekod dunia kerana ini penyertaan pertama acara saya. Saya mahu beri yang terbaik kerana mungkin selepas ini acara ini tiada lagi dipertandingkan.

“Keyakinan itu hadir selepas beliau mencatatkan lompatan sejauh 7.76 meter pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia bulan lalu, sekali gus mengatasi rekod dunia para 7.67 meter yang diciptanya di New Delhi, India tahun lalu,”katanya.

Sementara itu, jurulatih olahraga para kebangsaan, Eryanto Bahtiar menyifatkan Abdul Latif sebagai sandaran utama kontinjen negara untuk meraih pingat emas di Glasgow berdasarkan prestasi semasa yang konsisten.

“Sasaran utama kita adalah Datuk Latif. Berdasarkan data dan prestasi semasa, insya-Allah pingat emas menjadi sasaran buat beliau.

“Bagi Eljoe pula, kita menyasarkan dia mencatat rekod peribadi terbaik dan jika ada rezeki, kami percaya dia mampu menyumbang pingat gangsa,” katanya.

Selain Abdul Latif, Malaysia turut mempertaruhkan Eljoe Gotuoh dalam acara lompat jauh lelaki T20 serta Muhammad Noorhelmie Mohd Rabi dalam acara 100 meter lelaki T12 bagi menggalas cabaran negara di Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.