
KUALA LUMPUR, 7 Julai – Ketua Jurulatih Beregu Singapura, Paulus Firman menyifatkan peluang menjalani latihan bersama di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara sebagai platform terbaik untuk meningkatkan persiapan pemainnya menjelang dua kejohanan antarabangsa bulan ini.
- Paulus Firman bersama tujuh pemain, termasuk Wesley Koh-Junsuke Kubo, jalani kem seminggu sebagai persiapan ke Terbuka Taiwan dan Korea Masters.
- Beliau berterima kasih kepada BAM, khususnya Rexy Mainaky dan Herry Iman Pierngadi, atas peluang latihan dan perkongsian pengalaman.
- Paulus sokong rombakan pasangan beregu lelaki Malaysia dan percaya percubaan perlu diberi peluang untuk cari kombinasi terbaik.
Beliau kembali ke ABM bersama tujuh pemain Singapura, termasuk beregu lelaki utama negara itu, Wesley Koh-Junsuke Kubo, bagi menjalani kem latihan selama seminggu sebagai persediaan menghadapi Terbuka Taiwan 2026 dan Korea Masters 2026.
“Saya harus berterima kasih kepada BAM, khususnya Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky dan ketua jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi kerana memberi peluang kepada pasukan beregu lelaki Singapura untuk berlatih di sini.
Pemain-pemain saya dapat menimba banyak pengalaman dan belajar walaupun ada yang pernah bertemu dalam kejohanan. Memang saya rancang untuk datang ke sini selama seminggu supaya mereka dapat belajar lebih banyak” Katanya.
Beliau yang membimbing skuad beregu Singapura sejak 2022 berkata perkembangan pemain-pemainnya menunjukkan peningkatan positif, termasuk kejayaan menghantar beregu campuran Terry Hee-Jessica Tan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Mengulas rombakan pasangan beregu lelaki negara yang dilakukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), beliau percaya pendekatan tersebut wajar diberi peluang bagi mencari kombinasi terbaik.
“Semua itu kita kena tunggu keputusannya dahulu. Kalau kita tidak cuba, mana kita tahu hasilnya. Saya pun pernah buat perkara yang sama. Dengan persaingan sekarang, kita memang perlu buat sesuatu yang berbeza. Saya nampak langkah ini ada potensi ” Jelasnya.
Baru-baru ini, BAM melakukan rombakan sektor beregu lelaki dengan menggandingkan Soh Wooi Yik bersama Man Wei Chong, Aaron Chia bersama Aaron Tai, manakala Tee Kai Wun dipasangkan dengan Yap Roy King sebagai sebahagian daripada persiapan jangka panjang skuad negara.