Cuaca panas uji pelumba Tour de France

Foto AFP

Les Angles, 7 Julai – Juara bertahan Tour de France, Tadej Pogacar menyifatkan usaha mengekalkan suhu badan dalam cuaca panas melampau sebagai cabaran logistik yang semakin kompleks dan menuntut komitmen tinggi daripada setiap pasukan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suhu melebihi 30 darjah sejak bermula, hampir 40 darjah dijangka, meningkatkan risiko keselamatan pelumba.
  • Pasukan membawa banyak air dan ais; rakan sepasukan kadang kala berpatah balik lebih 15 kilometer untuk bekalan.
  • Pelumba guna jaket ais, rendam tangan dalam air sejuk dan gel karbohidrat beku untuk penyejukan dan tenaga.
  • Penganjur sanggup ubah laluan atau batalkan peringkat; kebakaran hutan dan perubahan iklim menambah cabaran penganjuran.

Menurut pelumba Slovenia berusia 27 tahun itu, suhu melebihi 30 darjah Celsius direkodkan sejak perlumbaan bermula di Barcelona, malah dijangka meningkat hampir 40 darjah Celsius pada peringkat seterusnya, sekali gus meningkatkan risiko terhadap keselamatan pelumba.

Pogacar, yang meraih jersi kuning selepas menjuarai peringkat ketiga dalam suhu sekitar 36 darjah Celsius, berkata pasukannya terpaksa melakukan pelbagai langkah luar biasa bagi memastikan badan pelumba kekal sejuk.

“Kami perlu membawa bekalan air dan ais yang banyak. Ada kalanya beberapa rakan sepasukan terpaksa berpatah balik sejauh lebih 15 kilometer untuk mendapatkan bekalan tambahan bagi menyejukkan badan,” katanya.

Pelbagai teknik digunakan pelumba termasuk memakai jaket ais, merendam tangan dalam air sejuk, serta mengambil gel karbohidrat beku bagi tujuan penyejukan dan tenaga.

Namun, usaha tersebut turut menambah kesukaran dalam perlumbaan, selain menuntut perancangan logistik yang lebih teliti.

Pogacar menegaskan, penghidratan adalah kunci utama bagi mengawal suhu badan, sambil mengakui keadaan perlumbaan kini jauh berbeza berbanding beberapa tahun lalu.

“Jika gagal mengawal suhu badan, perlumbaan ini boleh menjadi berbahaya,” katanya lagi.

Sementara itu, penganjur Tour de France turut bersedia menghadapi sebarang kemungkinan susulan cuaca ekstrem, termasuk mengubah laluan atau membatalkan peringkat tertentu jika perlu.

Pengarah perlumbaan, Christian Prudhomme berkata pihaknya sentiasa bersedia menyesuaikan keadaan demi keselamatan semua pihak.

Selain cuaca panas, perlumbaan turut berdepan ancaman kebakaran hutan di selatan Perancis, yang memusnahkan lebih 4,600 hektar kawasan dan memaksa ribuan penduduk dipindahkan.

Situasi ini sekali gus menonjolkan cabaran baharu yang dihadapi Tour de France, dengan pakar memberi amaran bahawa perubahan iklim bakal terus memberi kesan besar terhadap penganjuran perlumbaan berprestij itu pada masa hadapan.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.