
FOXBOROUGH, 10 Julai – Kylian Mbappe bangkit daripada kegagalan menyempurnakan sepakan penalti untuk membantu Perancis menewaskan Maghribi 2-0, sekali gus mara ke separuh akhir Piala Dunia 2026.
- Mbappe meledak gol pembukaan pada minit ke-60 dengan rembatan lencong dari luar kotak penalti.
- Jaringan itu adalah gol kelapan Mbappe dalam kejohanan, menyamakan kedudukan dengan Lionel Messi dalam persaingan Kasut Emas.
- Mbappe mencipta gerakan untuk membantu Ousmane Dembele melipatgandakan kelebihan pada minit ke-66 sebelum ditarik keluar.
- Perancis akan menentang pemenang Sepanyol lawan Belgium di Dallas dan memburu final ketiga berturut-turut dalam kempen terakhir Deschamps.
Mbappe terlebih dahulu gagal menewaskan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou menerusi sepakan penalti pada separuh masa pertama.
Namun, bintang Real Madrid itu menebus kekecewaan tersebut apabila meledak jaringan pembukaan pada minit ke-60 menerusi rembatan lencong menarik dari luar kotak penalti.
Gol itu merupakan jaringan kelapan Mbappe dalam kejohanan kali ini, sekali gus meletakkannya kembali sebaris dengan Lionel Messi dalam perebutan Kasut Emas.
Sebelum dikeluarkan pada lewat permainan, Mbappe turut mencipta gerakan yang membolehkan Ousmane Dembele menggandakan kelebihan Perancis pada minit ke-66.
Kemenangan di Stadium Gillette itu menyaksikan Perancis sekali lagi menyingkirkan Maghribi, selepas turut menewaskan pasukan sama pada separuh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar.
Skuad Les Bleus akan berdepan pemenang aksi suku akhir antara Sepanyol dengan Belgium pada saingan separuh akhir di Dallas, Selasa depan.
Perancis turut memburu penampilan final Piala Dunia ketiga berturut-turut, dalam kejohanan terakhir Didier Deschamps sebagai ketua jurulatih pasukan itu.
Juara dunia 2018 dan naib juara 2022 itu terus menunjukkan kematangan dalam saingan kalah mati apabila mencatat tiga perlawanan berturut-turut tanpa bolos.
Maghribi pula gagal memanfaatkan sokongan kuat penyokong di stadium, selain tumpul di bahagian serangan susulan ketiadaan Ismael Saibari yang mengalami kecederaan.
Mbappe kini mengumpul 20 gol dalam 20 penampilan Piala Dunia, hanya satu jaringan di belakang rekod keseluruhan Messi.-AFP