Jurulatih Mesir suarakan isu Palestin di Piala Dunia

Foto AFP

ATLANTA, 7 Julai – Ketua jurulatih Mesir, Hossam Hassan, menyifatkan penderitaan rakyat Palestin sebagai satu ‘aib kepada dunia’ sambil menggesa komuniti bola sepak global memainkan peranan lebih aktif dalam membantu mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hassan kibarkan bendera Palestin sebagai tanda solidariti sebelum perlawanan menentang Argentina.
  • Beliau menegaskan sesiapa yang tidak merasai penderitaan Palestin tidak mempunyai sifat kemanusiaan.
  • Ucapannya mendapat tepukan wartawan, menunjukkan sokongan kuat kepada seruan kemanusiaan beliau.
  • Hassan menyeru FIFA, media dan atlet menggunakan bola sepak untuk menuntut hak asasi dan kehidupan untuk rakyat Palestin.

Kenyataan itu dibuat Hassan selepas Mesir mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 dengan menewaskan Australia menerusi penentuan penalti. Beliau turut mengibarkan bendera Palestin sebagai tanda solidariti, menjelang pertemuan menentang juara bertahan Argentina.

Dalam sidang media pra-perlawanan di Atlanta, Hassan menegaskan bahawa sesiapa yang tidak merasai penderitaan rakyat Palestin ‘tidak mempunyai sifat kemanusiaan’.

“Saya ingin katakan ini adalah sesuatu yang memalukan kita semua. Memalukan seluruh dunia, bukan hanya dunia Arab, tetapi semua pihak terutama pembuat keputusan yang membiarkan manusia terus menderita,” katanya.

Kenyataan beliau itu disambut tepukan daripada para wartawan yang hadir.

Hassan, yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman Mesir, turut menyeru badan induk bola sepak dunia serta pemain untuk mengambil pendirian lebih tegas dalam isu berkenaan.

“Gunakan bola sepak sebagai medium berpengaruh. Saya menyeru media dan semua atlet di seluruh dunia, tanpa mengira latar belakang, untuk menyampaikan mesej bersama biarkan rakyat Palestin hidup, wujud dan menjalani kehidupan mereka sendiri. Itu adalah hak asasi,” katanya.

Konflik berterusan di Gaza tercetus susulan serangan pada Oktober 2023 yang mengorbankan lebih 1,200 nyawa di Israel, selain ratusan individu dijadikan tebusan. Tindakan balas ketenteraan Israel pula dilaporkan telah meragut lebih 73,000 nyawa di wilayah Gaza, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Mesir dijadual menentang Argentina dalam aksi pusingan 16 terbaik pada Selasa.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.