
LOS ANGELES, 7 JULAI – Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mempertahankan keputusan badan induk itu yang menangguhkan kad merah terhadap bintang Amerika Syarikat, Folarin Balogun, meskipun tindakan tersebut mencetuskan kontroversi besar di pentas bola sepak dunia.
- FIFA menggantung keputusan kad merah Balogun, membolehkannya beraksi dalam perlawanan pusingan 16 menentang Belgium.
- Infantino menegaskan proses disiplin dijalankan secara bebas dan beliau tiada kuasa mempengaruhi keputusan badan kehakiman FIFA.
- Keputusan itu mencetuskan kemarahan Persekutuan Bola Sepak Belgium yang menuduh tindakan tidak telus.
- UEFA memberi amaran keputusan boleh menjejaskan integriti sukan, manakala Trump menghubungi Infantino meminta semakan bukan pembatalan.
Infantino menegaskan, proses disiplin FIFA dijalankan secara bebas oleh badan kehakiman dalaman organisasi itu dan beliau tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi keputusan tersebut.
“Saya telah menjelaskan bahawa terdapat proses undang-undang yang sedang berjalan dalam badan kehakiman bebas FIFA dan keputusan akan dibuat oleh pihak berkuasa yang kompeten,” katanya.
Terdahulu, pemain Monaco itu disahkan terlepas perlawanan pusingan 16 terbaik menentang Belgium di Seattle pagi ini selepas dilayangkan kad merah ketika berdepan Bosnia Herzegovina.
Namun FIFA mengejutkan ramai pihak apabila memutuskan untuk menggantung keputusan kad merah tersebut, sekali gus membolehkan Balogun beraksi dalam perlawanan penting berkenaan.
Keputusan tersebut juga mencetuskan kemarahan beberapa pihak, termasuk Persekutuan Bola Sepak Belgium yang menyifatkan tindakan FIFA sebagai tidak telus.
Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) pula mendakwa, FIFA melintasi garisan merah dengan keputusan seperti itu boleh menjejaskan integriti sukan di peringkat global.
Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengesahkan beliau menghubungi Infantino secara langsung berhubung insiden itu kerana berpendapat layangan kad merah kepada pemain berusia 25 tahun itu tidak wajar.
“Saya tidak rasa itu satu kekasaran. Saya hanya meminta semakan, bukan meminta ia dibatalkan,” kata Trump.