Jabatan Penyiaran rangka garis panduan AI, libat urus industri dilaksana

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail selepas pertemuan dua hala bersama Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke / Foto RTM

ANGKASAPURI KOTA MEDIA, 6 Julai – Jabatan Penyiaran Malaysia giat melaksanakan sesi libat urus bersama pemain industri, bagi merangka garis panduan Kecerdasan Buatan (AI) dalam dunia penyiaran dan industri kreatif negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jabatan Penyiaran giat mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri untuk merangka garis panduan AI dalam penyiaran dan industri kreatif.
  • Garis panduan menekankan penggunaan AI beretika, seimbang dan bertanggungjawab serta memfokuskan pembangunan bakat dan kualiti kandungan tempatan.
  • Garis panduan dijangka dimuktamadkan suku pertama tahun hadapan; kerjasama antarabangsa juga dibuka bagi mempromosi budaya dan program bersama.

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, usaha itu bertujuan memastikan penggunaan AI dimanfaatkan secara beretika, seimbang dan bertanggungjawab dengan mengutamakan pembangunan bakat serta memperkukuh kualiti kandungan tempatan.

“Garis panduan ini penting bagi memastikan penggunaan AI berlandaskan falsafah yang tepat iaitu sebagai teknologi yang memperkukuh kualiti modal insan, bukannya menggantikan peranan manusia dalam industri penyiaran dan kreatif.

“Tanpa garis panduan yang jelas, industri berisiko berdepan krisis bakat akibat penggunaan AI yang tidak diurus secara berhemah dan strategik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dua hala bersama Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke, di sini, hari ini.

Jelas beliau, sesi libat urus melibatkan pelbagai pihak termasuk persatuan penerbit, pengarah, pemuzik, komposer serta penggiat industri kreatif bagi mendapatkan pandangan secara menyeluruh.

Menurutnya lagi, garis panduan yang dijangka dimuktamadkan pada suku pertama tahun hadapan, diyakini mampu memperkasakan pembangunan modal insan sekali gus meningkatkan mutu kandungan penyiaran negara.

Mengenai pertemuan dua hala bersama Danielle, Ashwad berkata, pihaknya menyambut baik hasrat kerajaan Australia untuk meneruskan kerjasama strategik antara penyiar rasmi kerajaan, khususnya dalam memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara menerusi kandungan dan media.

“Kerjasama strategik ini membuka ruang kepada penerokaan kandungan baharu yang mampu menarik minat penonton kedua-dua negara, termasuk mempromosikan khazanah alam sekitar, warisan dan kebudayaan Malaysia kepada generasi muda di peringkat antarabangsa.

“Ia juga peluang memperluaskan kerjasama dalam bidang seni dan budaya menerusi kekuatan Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM) seperti penganjuran persembahan dan program bersama di peringkat ASEAN serta Australia,” ujar beliau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.