Polis rampas senjata api, 208 peluru hidup dalam serbuan dadah

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin (tiga, kiri)/Foto BERNAMA

IPOH, 6 Julai – Polis merampas pelbagai senjata api, 208 butir peluru hidup dan dadah selepas menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah menerusi dua serbuan di Sitiawan, Manjung pada 1 Julai lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata suspek tempatan berusia 29 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak dalam serbuan yang dijalankan pada pukul 7.15 malam dan 10 malam.

Serbuan pertama di sekitar Taman Terus Maju membawa kepada penahanan suspek bersama sebuah kereta, sebelum polis menemui tiga paket plastik merah mengandungi bahan disyaki dadah jenis MDMA seberat 66.64 gram.

“Serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kampung Cina, Sitiawan. Hasil pemeriksaan menemukan 12 paket plastik lutsinar yang setiap satunya mengandungi bahan disyaki dadah jenis ketamin dengan anggaran berat keseluruhan 64.30 gram,” katanya.

Pemeriksaan lanjut di sebuah pondok kayu di belakang rumah itu menemukan sepucuk senjata menyerupai pistol, tujuh laras senjata menyerupai senapang, dua laras senjata menyerupai busur silang, 208 butir peluru hidup serta lapan kelongsong peluru.

Datuk Mohd Alwi berkata, keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM6,547 dan dipercayai boleh digunakan oleh kira-kira 100 penagih.

Beliau berkata, suspek direman selama enam hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Selain itu, tindakan turut diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, dengan polis menyita wang tunai berjumlah RM780.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.