Penolong Pengarah Kastam didakwa terima rasuah untuk tutup kes

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 6 Julai – Seorang penolong pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM15,000, bulan lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Didakwa menerima wang tunai daripada seorang lelaki untuk menutup kertas siasatan yang sedang dikendalikan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, boleh dihukum maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda atau RM10,000.
  • Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan syarat menyerahkan pasport, melapor diri SPRM dan tidak mengganggu saksi; sebutan semula 3 Ogos.

Individu berumur 38 tahun itu didakwa menerima wang tunai daripada lelaki berusia 50 tahun sebagai dorongan membantu menutup kertas siasatan yang sedang dikendalikannya.

Mengikut kertas pertuduhan, perbuatan itu dilakukan di tempat letak kereta di daerah Petaling pada 6 Jun lepas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri ke pejabat SPRM berdekatan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Selain itu, peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mempertimbang jaminan RM5,000 atas alasan menanggung keluarga dan ibu bapa yang sedang uzur.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin membenarkan jaminan RM5,000 berserta syarat tambahan seperti yang dimohon pihak pendakwaan.

3 Ogos ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.