Tiga lelaki tempatan ditahan, terlibat kes samun

Foto hiasan

IPOH, 6 Julai – Polis Perak menahan tiga lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dengan kes samun seorang lelaki warga asing di Pantai Remis, Manjung pada 2 Julai lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa mendakwa disamun dua suspek yang menyamar sebagai anggota polis di Pantai Remis sekitar 4.30 petang.
  • Suspek merampas beg mengandungi RM8,000; mangsa terbabas ke bahu jalan di Batu 12, Segari, Lumut.
  • Mangsa dipaksa masuk ke dalam kereta dalam keadaan bergari sementara suspek melarikan diri bersama wang tunai.
  • Polis merampas kereta, telefon bimbit, kad ATM, wang tunai, gari dan kad kuasa polis bantuan; suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, penahanan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di Jalan Besar, Gunung Tunggal, Changkat Keruing.

Laporan berkaitan kejadian diterima pada pukul 4.30 petang daripada mangsa yang mendakwa telah disamun di kawasan Pantai Remis dua suspek yang menyamar sebagai anggota polis.

“Suspek kemudian merampas beg mangsa yang mengandungi wang tunai berjumlah RM8,000. Mangsa bertindak memulas stereng kenderaannya sehingga terbabas ke bahu jalan di Batu 12, Segari, Lumut.

“Kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri bersama wang tunai milik mangsa selepas menahan sebuah motosikal yang melalui jalan berkenaan,” katanya.

Dalam kejadian berkenaan mangsa telah dipaksa masuk ke dalam sebuah kereta dalam keadaan tangan bergari.

Susulan kejadian itu, pihak polis telah berjaya menahan tiga suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut pada pukul 8.30 malam.

Polis turut merampas sebuah kereta, beberapa telefon bimbit, kad ATM, wang tunai, gari, kad kuasa polis bantuan serta beberapa barangan lain.

Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk melibatkan kes samun, curi, dan kesalahan berkaitan dadah.

Perintah reman selama tujuh hari telah dibenarkan sehingga 9 Julai depan bagi membantu siasatan bawah Seksyen 395/170 kanun keseksaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.