Rakyat Malaysia ditahan di Macau miliki rekod jenayah dadah

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Seorang rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Macau kerana disyaki menyeludup hampir tiga kilogram heroin bernilai kira-kira RM2.09 juta bulan lepas, disahkan memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek mempunyai dua rekod jenayah narkotik di Malaysia di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
  • Heroin disorok dalam tin pes tuna yang dibungkus bersama biskut dan ditemukan dalam bagasi suspek semasa pemeriksaan.
  • JSJN bekerjasama dengan Polis Macau dan agensi jiran untuk kenal pasti dalang serta ahli sindiket; suspek dipercayai direkrut dengan janji bayaran RM3,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya menerima maklumat rasmi daripada polis Macau berhubung penahanan lelaki berusia 24 tahun yang berasal dari Sarawak itu, semalam.

“Semakan mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah narkotik melibatkan Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Hussein, dadah berkenaan disorokkan di dalam tin sardin berlabel pes tuna yang dibungkus bersama biskut sebelum ditemukan dalam bagasi suspek sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Macau.

Beliau berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang serta anggota sindiket lain di negara ini, di samping bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan dadah negara jiran susulan suspek dipercayai menggunakan laluan selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk menyeludup dadah.

“Suspek bukan berlepas dari Malaysia tetapi dari negara jiran di utara dan dadah terbabit dipercayai diperoleh dari negara jiran,” katanya.

Menurut Hussein, kerjasama siasatan antara JSJN dan Polis Macau ketika ini tertumpu kepada pertukaran maklumat risikan serta usaha mengenal pasti dalang dan ahli sindiket lain yang terbabit.

Beliau turut menasihati rakyat Malaysia yang berkunjung ke luar negara supaya sentiasa mengambil berat terhadap bagasi dibawa serta mengetahui sepenuhnya kandungan bagasi atau bungkusan bagi mengelakkan dieksploitasi sebagai keldai dadah.

Sebelum ini, Polis Kehakiman Macau memaklumkan seorang lelaki warga Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Macau pada 20 Jun selepas disyaki menyeludup 2.987 kilogram heroin bernilai kira-kira 4.18 juta pataca Macau (RM2.09 juta).

Pihak berkuasa turut menemukan 49 kotak biskut tuna yang dibungkus rapi, dengan setiap kotak mengandungi dua paket biskut dan satu tin pes tuna, namun pemeriksaan mendapati beberapa tin itu diisi serbuk putih yang kemudian disahkan sebagai heroin.

Siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai direkrut sindiket pengedaran dadah di Malaysia dengan dijanjikan bayaran RM3,000 selepas tugasan selesai. Dia juga diarahkan mengambil dadah berkenaan di sebuah negara Asia Tenggara sebelum menyeludupnya ke Macau untuk dihantar ke wilayah berhampiran mengikut arahan sindiket.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.