
MELAKA TENGAH, 6 Julai – Lima lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes merusuh yang mengakibatkan dua cedera di Kampung Pengkalan Rama Pantai, awal pagi Ahad.
- Dua mangsa diserang ketika mengambil motosikal berhampiran tokong sekitar pukul 1 pagi.
- Mangsa dipukul menggunakan kerusi plastik, topi keledar dan kayu; seorang cedera dahi dan dagu, seorang lagi retak tengkorak.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan 148; motif masih disiasat, dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Suptritendan Halim Abas berkata semua suspek berusia antara 23 hingga 34 tahun ditahan pada hari sama hasil tindakan pantas polis.
Berdasarkan laporan, dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, dua mangsa masing-masing berusia 41 dan 46 tahun diserang sekumpulan lelaki ketika mengambil motosikal yang ditinggalkan berhampiran sebuah tokong di kawasan berkenaan.
Mangsa dipercayai dipukul menggunakan kerusi plastik, topi keledar dan sebatang kayu.
Seorang mangsa mengalami kecederaan pada dahi dan dagu, manakala seorang lagi mengalami keretakan pada bahagian tengkorak kepala.
Kedua-dua mangsa menerima rawatan di Hospital Melaka.
Siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali kumpulan suspek dan motif kejadian masih disiasat.
Semakan turut mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
Kesemua suspek direman selama enam hari hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau alat berbahaya, serta Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.