
KUALA NERUS, 5 Julai- Terengganu FC (TFC) mengekalkan dua tonggak sedia ada bagi memperkuat pasukan untuk mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim 2026/2027, yang bakal membuka tirai Ogos ini.
- TFC menandatangani lanjutan kontrak bagi Muhammad Rahadiazli Rahalim dan Muhammad Alif Zakaria sehingga Mei 2028.
- Keputusan mengekalkan pemain dibuat berdasarkan prestasi baik sepanjang aksi bersama pasukan.
- Kelab berharap kedua pemain terus membantu menaikkan nama TFC di pentas bola sepak negara.
- TFC memperkenalkan jenama pakaian sukan TRIVET, simbol identiti, aspirasi dan produk prestasi tinggi untuk pengguna.
Perkara itu diumumkan melalui laman sosial Facebook rasmi pasukan hari ini.
Menurut kenyataan itu skuad Penyu, memutuskan untuk menandatangani kontrak lanjutan bersama penjaga gol Muhammad Rahadiazli Rahalim dan tonggak pertahanan Muhammad Alif Zakaria sehingga Mei 2028.
“Keputusan mengekalkan dua pemain ini adalah berdasarkan prestasi baik mereka ketika beraksi bersama pasukan hitam putih. Muhammad Alif yang berusia 28 tahun telah berkhidmat untuk pasukan Terengganu sejak 2020, manakala Rahadiazli yang berusia 25 tahun pula bermula dengan pasukan TFC 1V pada 2019.
“TFC berharap kedua-dua pemain tersebut dapat terus membantu menaikkan nama TFC di arena bola sepak negara,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan TFC itu, mereka secara rasmi telah memperkenalkan jenama pakaian sukan yang dimiliki dan dibangunkan sendiri, sebagai usaha dalam memperkukuh identiti kelab.
Dikenali sebagai TRIVET, jenama tersebut bukan sekadar simbol pakaian sukan, malah melambangkan identiti, semangat serta kebanggaan seluruh keluarga besar TFC.
“Kelab berhasrat menawarkan produk sukan yang memenuhi standard prestasi tinggi, di samping memberi nilai terbaik kepada pelanggan bukan sahaja melalui sukan bola sepak, tetapi untuk kesemua jenis sukan serta menjadikan jenama ini sebagai produk pemakaian harian untuk orang ramai.
“Pemilihan kata nama khas TRIVET, membawa maksud asas yang kukuh, melambangkan unsur pada jenama ini sendiri sejajar dengan aspirasi pemilik jenama iaitu TFC, untuk membina sebuah kelab yang lebih mampan, berdikari dan berdaya saing dalam jangka masa panjang,” menurut kenyataan itu. -BERNAMA