Nagelsmann letak jawatan, buka peluang Klopp kendali Jerman

Julian Nagelsmann – Foto AFP


MUNICH, 3 Julai Julian Nagelsmann dilaporkan meletak jawatan sebagai jurulatih Jerman selepas pasukannya tersingkir awal dari Piala Dunia FIFA 2026 susulan tewas dalam penentuan penalti 3-4 kepada Paraguay pada pusingan 32 terbaik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Media laporkan Nagelsmann akur permintaan DFB untuk berundur walau masih berkontrak hingga Euro 2028.
  • Jurgen Klopp dianggap pilihan utama untuk mengambil alih; bekas pengurus Liverpool kini Ketua Global Bola Sepak Red Bull.
  • Nagelsmann ditawarkan pampasan tujuh juta euro selepas mesyuarat tiga jam; jika disahkan, beliau menjadi jurulatih kedua dipecat.

Beberapa media termasuk Bild dan Sky Germany melaporkan, Nagelsmann yang masih mempunyai kontrak sehingga kejohanan Euro 2028 akur dengan permintaan Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) agar beliau berundur.

Pemergiannya dijangka membuka pintu kepada bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp yang dipercayai menjadi pilihan utama untuk mengambil alih jawatan yang ditinggalkan.

Klopp, yang meninggalkan Liverpool pada tahun 2024 dengan penuh gemilang susulan kejayaan menjulang piala Liga Juara Eropah dan Liga Perdana Inggeris, kini memegang jawatan sebagai Ketua Global Bola Sepak Red Bull.

Bagaimanapun, menurut laporan, kontraknya mengandungi klausa pelepasan yang membolehkannya mengambil alih jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan Jerman.

Jurulatih berusia 59 tahun itu masih mendapat sokongan dan populariti tinggi di Jerman selain turut tampil sebagai penganalisis di televisyen negara itu sepanjang liputan Piala Dunia.

Sementara itu, Nagelsmann dilaporkan menghadiri mesyuarat selama tiga jam di ibu pejabat DFB di Frankfurt pada Khamis, sebelum ditawarkan pakej pampasan berjumlah tujuh juta euro (AS$8 juta), bersamaan gaji setahun, sebagai syarat untuk menamatkan khidmatnya.

Sekiranya pengundurannya disahkan, Nagelsmann, 38 tahun akan menjadi jurulatih kedua dalam sejarah skuad kebangsaan Jerman yang dipecat, selepas Hansi Flick menerima nasib sama pada 2023.

Die Manschaft tersingkir daripada saingan Piala Dunia selepas tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Paraguay di Boston pada Isnin, susulan keputusan seri 1-1 sehingga tamat masa tambahan.

Kekalahan itu juga merupakan kali pertama Jerman tewas dalam penentuan penalti di pentas Piala Dunia.

Juara dunia empat kali itu sebelum ini turut tersingkir di peringkat kumpulan pada edisi Rusia 2018 dan Qatar 2022.

Malah, Jerman belum pernah memenangi perlawanan peringkat kalah mati atau mencatatkan rekod tanpa bolos di Piala Dunia sejak menewaskan Argentina 1-0 pada perlawanan akhir edisi 2014 di Brazil. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.