
KUALA LUMPUR, 12 September – Ribuan pengunjung membanjiri Parlimen Malaysia hari ini sempena Hari Terbuka Parlimen Malaysia 2026, sekali gus berpeluang menjejakkan kaki ke “Rumah Demokrasi” itu secara percuma.
- Program merakyatkan Parlimen dengan membuka ruang interaksi lebih dekat antara ahli Parlimen, pentadbir Parlimen dan masyarakat.
- Acara sempena ulang tahun Parlimen ke-67 dan Bulan Kebangsaan menawarkan aktiviti pendidikan mengenai sejarah, fungsi dan peranan Parlimen.
- Pengunjung puji pengalaman melihat Dewan Rakyat secara langsung, memberikan pendedahan dan kefahaman sistem berparlimen kepada keluarga.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata program yang berlangsung hari ini dan esok (Ahad) merupakan usaha untuk merakyatkan Parlimen dengan membuka ruang interaksi lebih dekat antara ahli Parlimen, pentadbir Parlimen dan masyarakat.
“Rakyat khususnya dapat melihat sendiri dan merasai sendiri datang dan lihat bukan sahaja bangunan Parlimen tetapi intisari apa yang berlaku di Parlimen.
“Kita amat teruja. Kalau dua tahun lalu kita ada 10,000 pengunjung, saya rasa mungkin hari ini sahaja kita dah 10,000. Kita memang gembira menerima pengunjung kita”, katanya demikian selepas Majlis Perasmian Hari Terbuka Parlimen Malaysia 2026 di sini, pagi tadi.
Penganjuran Hari Terbuka Parlimen berkenaan bersempena ulang tahun ke-67 Parlimen Malaysia dan sambutan Bulan Kebangsaan 2026 itu menawarkan pelbagai aktiviti kepada orang ramai, termasuk peluang mengenali sejarah, fungsi dan peranan Parlimen dengan lebih dekat.
Sementara itu, rata-rata pengunjung yang ditemui menyifatkan hari Terbuka Parlimen itu sebagai sesuatu yang menarik selain memberi pendedahan dan pengetahuan terhadap sistem berparlimen Malaysia.
Seorang pengunjung, Khairunisa Zauli, berkata kunjungan pertamanya ke Dewan Rakyat memberi pengalaman mengujakan, selain membolehkannya melihat sendiri suasana yang selama ini hanya disaksikan menerusi televisyen.
“Bila datang sini, pertama kali bila masuk Dewan Rakyat rasa bangga. Biasa kita tengok dalam TV kan, dalam TV tu kita tengok tak puas, tapi bila kita datang sini tengok yang realitinya, baru kita tahu macam mana suasana di sini”, ujarnya ketika ditemui RTM.
Dalam pada itu, Mohd Rizal Azmi berkata program berkenaan amat menarik khususnya untuk keluarga, selain memberi peluang memahami sistem Parlimen dan kepentingannya kepada negara.
“Saya rasa ini sangat menarik, khususnya untuk keluarga kerana selama ini mereka hanya menonton Parlimen menerusi televisyen. Jadi, dapat berada di sini sendiri merupakan satu pengalaman yang sangat baik.
“Ia juga sebahagian daripada pendidikan untuk memahami bagaimana sistem Parlimen berfungsi serta betapa pentingnya Parlimen kepada Malaysia dan negara”, katanya demikian selepas Majlis Perasmian Hari Terbuka Parlimen Malaysia 2026 pagi tadi.
Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.