SPA buka temu duga ‘walk-in’ untuk pengambilan jururawat

Foto fail RTM

KUALA KANGSAR, 12 September- Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) melaksanakan temu duga terbuka secara walk-in atau jumpa terus bagi mempercepatkan pengisian kekosongan jawatan jururawat dalam sektor awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah terbuka kepada calon berkelayakan, termasuk pemegang diploma kejururawatan.
  • Masih terdapat beberapa ratus kekosongan daripada lebih 1,400 jawatan jururawat; kira-kira 1,000 jawatan telah diisi setakat ini.
  • Kekurangan jururawat dipengaruhi tawaran lebih baik di sektor swasta dan peluang berkhidmat di luar negara.

Pengerusi SPA, Datuk Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata langkah itu terbuka kepada calon berkelayakan, termasuk pemegang diploma kejururawatan.

Beliau berkata masih terdapat beberapa ratus kekosongan daripada lebih 1,400 jawatan jururawat yang perlu diisi, dengan kira-kira 1,000 jawatan telah diisi setakat ini.

“Masih ada beberapa ratus kekosongan (jururawat) yang perlu diisi segera. Bagaimanapun, proses pengisian jawatan ini mengambil masa kerana ada calon yang perlu menjalani latihan terlebih dahulu,” katanya.

Dr. Ahmad Jailani berkata kekurangan jururawat turut dipengaruhi tawaran lebih baik di sektor swasta, menyebabkan sebahagian memilih untuk berkhidmat di sektor berkenaan atau luar negara.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI di Kampung Orang Asli (OA) Ulu Chenein, di sini, hari ini.

Sementara itu, empat projek Kampung Angkat MADANI bernilai kira-kira RM500,000 dilaksanakan di kampung berkenaan tahun ini.

Projek itu melibatkan arena sepak takraw, baik pulih surau dan dewan orang ramai, pemasangan 15 lampu jalan tenaga solar serta penyediaan jalan ke tanah perkuburan Islam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.