Lima warden Penjara Taiping didakwa esok, sebabkan kecederaan banduan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Lima warden Penjara Taiping akan didakwa di Mahkamah Majistret Taiping esok atas pertuduhan memukul tiga banduan dalam insiden Januari tahun lalu, yang menyebabkan seorang maut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan JSJ Bukit Aman bersama Polis Perak selesai; kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan dikembalikan 29 Jun.
  • Seorang warden akan didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan; hukuman maksimum setahun penjara atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
  • Dua warden dituduh di bawah Seksyen 323 dibaca bersama Seksyen 34 bagi niat bersama menyebabkan cedera.
  • Dua lain berdepan pertuduhan Seksyen 324 dibaca bersama Seksyen 34; hukuman hingga 10 tahun, denda atau sebat.

Kesemua mereka akan berdepan pertuduhan berasingan di bawah Kanun Keseksaan selepas siasatan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Polis Perak selesai, susulan arahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Pengarah JSJ, Datuk M Kumar berkata, kesemua mereka akan dituduh pada 9 pagi selepas kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan dikembalikan pada 29 Jun lalu dengan arahan pendakwaan.

“Bagi pertuduhan esok, seorang warden akan didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Dua lagi warden berdepan pertuduhan di bawah seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama bagi kesalahan dengan niat bersama sengaja menyebabkan cedera,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Kumar juga berkata dua lagi warden bakal berdepan pertuduhan lebih berat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama bagi kesalahan menyebabkan cedera menggunakan senjata.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih kerana prosiding mahkamah akan berjalan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.