UPNM perkenal subjek misil dan roket, perkukuh bidang aeroangkasa

Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad

CANBERRA, 2 Julai – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bakal memperkenalkan subjek berkaitan misil dan roket sebagai sebahagian daripada pengukuhan kurikulum sains dan kejuruteraan aeroangkasa menjelang 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama strategik antara Weststar dan Rocket Technologies International (RTI) menerusi Perjanjian Usahasama Strategik (JVA).
  • JVA berpotensi melebihi RM42 bilion dalam sektor aeroangkasa, pertahanan, satelit dan teknologi maju.
  • UPNM diberi peranan sebagai rakan strategik untuk penyelidikan, pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.
  • Pelaksanaan berfasa: kursus teknikal enam bulan, silibus prasiswazah baharu, pengkhususan pascasiswazah dan pembangunan industri melalui entiti usaha sama.

Komitmen itu dibuat susulan kerjasama strategik antara Weststar Group Sdn. Bhd. (Weststar) dengan Rocket Technologies International Pty Ltd (RTI) dari Australia.

Inisiatif itu merupakan antara fokus utama kerjasama yang dimeterai menerusi Perjanjian Usahasama Strategik (JVA) di Canberra, yang dianggarkan berpotensi menjana nilai komersial jangka panjang melebihi RM42 bilion dalam sektor aeroangkasa, pertahanan, satelit dan teknologi maju.

Melalui kerjasama berkenaan, UPNM diberi kepercayaan oleh Weststar sebagai rakan strategik bagi menerajui penyelidikan, pemindahan teknologi serta pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang pertahanan dan aeroangkasa.

Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, pengenalan bidang berkaitan roket dan misil akan dilaksanakan secara berfasa, bermula dengan program peningkatan kemahiran sebelum diperluaskan ke peringkat pengajian tinggi.

Menurut beliau, pada fasa pertama, UPNM akan menawarkan kursus teknikal jangka pendek selama enam bulan kepada peserta yang mempunyai latar belakang kejuruteraan, dengan tenaga pengajar daripada universiti di Australia dibawa ke UPNM bagi meningkatkan kepakaran pensyarah serta tenaga kerja tempatan.

“Fasa kedua pula melibatkan pelajar prasiswazah yang akan mengikuti silibus baharu dalam bidang aeroangkasa, termasuk subjek berkaitan teknologi roket dan misil sebagai sebahagian daripada program pengajian mereka.

“Seterusnya, pada fasa ketiga, program pascasiswazah melibatkan peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) akan diperluaskan bagi menyokong penyelidikan serta pembangunan teknologi pertahanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis menandatangani Perjanjian Usahasama Strategik antara Weststar dan RTI di sini.

Tambah beliau, fasa keempat akan memberi tumpuan kepada pembangunan industri apabila Weststar dan RTI menubuhkan entiti usaha sama di Malaysia dan Australia bagi membangunkan teknologi tempatan, sekali gus membuka peluang kepada graduan UPNM menyertai industri berteknologi tinggi hasil kolaborasi tersebut.

Perjanjian bersejarah itu ditandatangani oleh Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim bersama Pengasas RTI, Allan James Payne.

“Kerjasama ini akan meningkatkan pengetahuan negara dalam industri aeroangkasa, termasuk teknologi satelit dan roket.

“Ia juga menyokong pemindahan ilmu kepada UPNM supaya lebih ramai saintis, jurutera dan juruteknik dalam bidang pertahanan berteknologi tinggi dapat dilahirkan pada masa hadapan,” katanya.

Bagi memperkukuh penguasaan teknikal, UPNM turut akan mendapat sokongan kepakaran daripada University of Southern Queensland (UniSQ), yang sebelum ini telah menjalin kerjasama dengan RTI dalam pembangunan teknologi aeroangkasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.