
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Cadangan menukar peruntukan tambahan RM100 juta bagi menyokong program latihan berkemahiran tinggi dan berisiko tinggi daripada pembiayaan kepada geran akan dibawa ke Jemaah Menteri.
- Peruntukan disalurkan menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran dalam bentuk pembiayaan.
- Cadangan bertujuan mengurangkan beban kewangan peserta TVET yang terpaksa berhenti kerja untuk latihan sepenuh masa.
- Peserta diminta membayar yuran latihan melalui pinjaman sehingga menimbulkan tekanan kewangan.
- Pelaksanaan cadangan bergantung kepada kedudukan ekonomi negara dan pertimbangan kerajaan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, peruntukan yang disalurkan menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) ketika ini disediakan dalam bentuk pembiayaan.
Menurut beliau, cadangan itu bertujuan mengurangkan beban kewangan peserta TVET yang terpaksa meninggalkan pekerjaan untuk mengikuti latihan sepenuh masa.
“Kita akan mohon pertimbangan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan ahli Jemaah Menteri supaya, kalau boleh, RM100 juta ini ditukar kepada geran. Ini kerana ada peserta yang mengikuti program TVET terpaksa melepaskan pekerjaan mereka. Apabila mereka berhenti kerja, mereka kehilangan pendapatan kerana perlu mengikuti latihan sepenuh masa.
“Pada masa sama, kita juga meminta mereka membayar yuran latihan melalui pinjaman. It’s very taxing on them.”
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Pengajar TVET Kebangsaan dan Pengurus Pusat Bertauliah 2026 di Kuala Lumpur.
Jelas beliau, cadangan menukar pembiayaan itu kepada geran bertujuan memastikan lebih ramai rakyat berpeluang mengikuti latihan tanpa dibebani komitmen kewangan.
Bagaimanapun, beliau mengakui pelaksanaan cadangan itu bergantung kepada kedudukan ekonomi negara serta pertimbangan kerajaan.