Piala Dunia : Dua gol Kane bawa England ke slot 16 terbaik

FOTO AFP

ATLANTA, 2 Julai – Ketua pasukan Harry Kane muncul wira England apabila menjaringkan dua gol pada lewat permainan untuk membantu pasukan itu bangkit menewaskan Republik Demokratik Congo 2-1 sekali gus mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Congo mengejut dengan gol awal Brian Cipenga hasil hantaran lintang Chancel Mbemba, Jordan Pickford gagal menyelamatkan.
  • Tuchel memasukkan Saka, Gordon dan Eze; Gordon cipta peluang untuk Kane menyamakan pada minit ke-75.
  • Kane menjaringkan gol kemenangan, mengumpul 13 gol Piala Dunia dan 84 gol antarabangsa; Congo tersingkir selepas 52 tahun.

Congo terlebih dahulu mengejutkan hampir 70,000 penyokong apabila Brian Cipenga menyempurnakan jaringan hasil hantaran lintang Chancel Mbemba pada minit ke-7 menyaksikan penjaga gol England Jordan Pickford gagal menyelamatkan percubaan tersebut.

England yang jelas tertekan hampir dibolosi sekali lagi sebelum rehat, namun percubaan Yoane Wissa sekadar terkena tiang.

Bersambung babak kedua, Tuchel melakukan beberapa pertukaran dengan memasukkan Bukayo Saka, Anthony Gordon dan Eberechi Eze bagi menguatkan jentera serangan.

Pertukaran tersebut membuahkan hasil apabila Gordon yang berjaya mencipta peluang buat Kane menyamakan kedudukan menerusi tandukan pada minit ke-75.

Kane sekali lagi menjadi penyelamat England apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-86 hasil rembatan kencang, sekali gus mencatat gol antarabangsa ke-84 peribadinya.

Kemenangan itu turut menyaksikan Kane kini mengumpul 13 gol Piala Dunia dan kekal dalam persaingan merebut Kasut Emas kejohanan.

Sementara itu, kekalahan tersebut menamatkan perjalanan cemerlang Congo yang kembali beraksi di Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 52 tahun, selepas sebelum ini mencipta kejutan mara ke peringkat kalah mati.

Kemenangan tersebut menyaksikan England meneruskan cabaran memburu kejuaraan utama pertama dalam tempoh 60 tahun.

Bagaimanapun ujian getir menanti skuad ‘The Three Lions’ apabila bakal bertemu tuan rumah, Mexico di Estadio Azteca, Ahad ini. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.