Kontrak MotoGP Malaysia dilanjutkan hingga 2031

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari ketika sidang media di sini / BERNAMA

SEPANG, 1 Julai– Malaysia kekal sebagai antara hab utama sukan permotoran dunia selepas kontrak penganjuran MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dilanjutkan sehingga 2031.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kontrak baharu mendapat kelulusan Jemaah Menteri.
  • Perjanjian lima tahun melibatkan bayaran RM457 juta kepada pemegang hak.
  • Penganjuran 2024 menjana kira-kira RM694 juta, mewujudkan lebih 4,400 peluang pekerjaan, ROI sekitar 6.3 kali ganda.
  • Kejohanan menjadi platform MDEV untuk mencungkil bakat tempatan seperti Hakim Danish dan Qabil Irfan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kontrak baharu yang berkuat kuasa tahun depan itu telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri.

“Lanjutan kontrak ini bukan sekadar penganjuran acara sukan antarabangsa, tetapi sebahagian daripada usaha kerajaan membangunkan ekosistem sukan permotoran
negara.

Ia juga antara inisiatif menjana peluang ekonomi yang luas,” katanya dalam sidang media di sini.

Tempoh perjanjian lima tahun itu membabitkan bayaran sebanyak RM457 juta kepada pemegang hak perlumbaan.

Dalam pada itu, Dr Mohammed Taufiq memaklumkan, MotoGP Malaysia merupakan aset strategik negara.

Ia memberi impak positif kepada ekonomi dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan, hospitaliti dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Berdasarkan kajian impak ekonomi, penganjuran pada tahun 2024 sahaja telah menjana pulangan kira-kira RM694 juta serta mewujudkan lebih 4,400 peluang pekerjaan.

Penganjuran ini turut menghasilkan pulangan pelaburan (ROI) sekitar 6.3 kali ganda kepada negara,” tambahnya.

Selain aspek ekonomi, kejohanan dunia itu turut menjadi platform utama dalam mencungkil bakat tempatan melalui program Malaysian Motorsport Development (MDEV).

Antara nama yang semakin menyerlah di pentas antarabangsa hasil pembangunan bakat tersebut ialah Hakim Danish dan Qabil Irfan.

MotoGP Malaysia mula dianjurkan pada tahun 1991 di Litar Batu Tiga, Shah Alam sebelum berpindah sepenuhnya ke SIC pada 1999.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.