Lebih ramai ‘Hakim Danish’ perlu lahir menerusi pembangunan sukan permotoran

Hakim Danish ketika menjuarai Grand Prix (GP) Czech di Litar Brno

SEPANG, 1 Julai– Lebih ramai pelumba muda bertaraf dunia seperti Hakim Danish Ramli perlu dilahirkan menerusi pembangunan sukan permotoran di peringkat akar umbi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuh pembangunan akar umbi melalui dana, kemudahan latihan dan platform pembangunan bakat.
  • Manfaatkan lanjutan kontrak MotoGP sebagai platform untuk melahirkan lebih ramai pelumba muda negara.
  • Kerjasama rapat semua pihak serta pemantauan konsistensi diperlukan untuk pelaburan jangka panjang dan kesinambungan bakat.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, usaha itu akan diperkukuh menerusi penyediaan dana, kemudahan latihan dan platform pembangunan bakat.

Beliau berkata, kejayaan Hakim Danish tidak boleh dianggap sebagai pencapaian bersifat sementara.

Sebaliknya, ia menjadi pemangkin kepada kemunculan lebih ramai pelumba negara di pentas antarabangsa.

“Buat masa ini fokus diberikan kepada Hakim Danish, tetapi ia perlu bermula dari peringkat akar umbi. Selepas Hakim Danish, kita ada Qabil Irfan dan atlet-atlet junior lain yang sedang kita bangunkan bawah ZK Racing, Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Kita mahu pastikan mungkin selepas ini ada 10 atau 20 orang Hakim Danish yang hebat untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Garaj SIC Racing di Motorsport Park, di sini.

Menurut beliau, lanjutan kontrak penganjuran MotoGP di Malaysia wajar dimanfaatkan sepenuhnya sebagai platform melahirkan lebih ramai pelumba muda.

Jelas Dr. Mohammed Taufiq, Malaysia tidak seharusnya sekadar berpuas hati menjadi tuan rumah perlumbaan berprestij itu.

Sebaliknya, perlu proaktif dalam memastikan kesinambungan bakat lumba motosikal negara.

“Kita bekerjasama rapat dengan semua pihak kerana memastikan keperluan pelumba dipenuhi adalah sangat penting. Sokongan KBS bukan sahaja melalui dana, tetapi juga fasiliti bawah SIC untuk latihan yang mencukupi.

Kita akan sentiasa memantau konsistensi ini supaya ia menjadi pelaburan jangka panjang untuk melahirkan lebih ramai atlet sepanjang lima tahun penganjuran MotoGP ini,” tambahnya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.