
KUANTAN, 1 Julai– Liga Bola Jaring Pahang 1st mencipta sejarah apabila menghimpunkan penyertaan 42 pasukan mewakili setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Pahang.
- Penganjuran terbuka kepada semua individu berdaftar di DUN untuk memperluas penyertaan, inklusif dan memperkasa penyertaan wanita serta remaja perempuan.
- Hanya 12 pasukan terbaik layak ke Zon Perdana di Stadium Tertutup SUKPA, Bandar Indera Mahkota, dari 3 hingga 5 Julai.
- Acara disertai atlet, pelajar, pendidik, jurulatih dan komuniti, dengan aktiviti komuniti serta hadiah juara RM10,000 dan Walking Netball RM5,000.
Penyertaan tersebut menjadikan kejohanan berkenaan antara platform pembangunan bola jaring terbesar yang pernah dianjurkan di negeri itu.
Persatuan Bola Jaring Pahang dalam satu kenyataan memaklumkan, penganjuran kali pertama itu dibuka kepada semua individu yang berdaftar di DUN masing-masing tanpa mengira status pemain.
Langkah itu bertujuan memperluas penyertaan masyarakat dalam sukan bola jaring.
“Liga berkenaan diwujudkan sebagai platform pembangunan sukan massa, sukan kompetitif dan sukan komuniti yang lebih inklusif, di samping memperkasa penyertaan wanita serta remaja perempuan dalam sukan bola jaring.
Daripada 42 pasukan yang bertanding di peringkat zon, hanya 12 pasukan terbaik berjaya melayakkan diri ke saingan akhir atau Zon Perdana yang akan berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA, Bandar Indera Mahkota, dari 3 hingga 5 Julai ini,” menurut kenyataan itu.
Edisi sulung kejohanan itu turut mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan atlet, pelajar sekolah, pendidik, jurulatih, pengadil dan komuniti setempat.
Penganjur menyasarkan lebih 3,000 peminat hadir menyaksikan saingan Zon Perdana.
Pelbagai aktiviti komuniti turut diadakan sepanjang kejohanan, termasuk program Walking Netball bagi peserta berusia 50 tahun ke atas serta Cabaran Tiga Hantaran Jaringan.
Juara Liga Bola Jaring Pahang 1st akan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.
Pertandingan Walking Netball yang disertai 14 pasukan mewakili setiap Parlimen di Pahang pula menawarkan hadiah utama RM5,000.