Minat pelabur Eropah terhadap JS-SEZ mampu perkukuh kedudukan Malaysia

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyampaikan ucapan perasmian Forum Eksekutif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di sini, hari ini. / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Minat syarikat Itali dan beberapa negara Eropah lain untuk meneroka pelaburan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berpotensi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan serantau serta menarik lebih banyak projek berkualiti tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan berusaha menterjemah minat pelabur kepada pelaburan nyata di JS-SEZ.
  • Duta Besar Itali membawa senarai pelabur dan komited mengadakan sesi susulan.
  • Syarikat Itali berminat sektor minyak dan gas, pembuatan makanan serta semikonduktor; pengalaman Vietnam boleh dimanfaatkan.
  • Forum JS-SEZ anjuran IRDA menghimpunkan lebih 250 penggubal dasar, pelabur dan pemimpin perniagaan, mempromosikan koridor sebagai pintu masuk ASEAN.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan sedang berusaha menterjemah minat itu kepada pelaburan nyata.

“Duta Besar Itali ke Malaysia, Raffaele Langella telah mengadakan kunjungan hormat kira-kira sebulan lalu dan memaklumkan bahawa beliau mempunyai senarai pelabur yang bersedia meneroka peluang baharu.

“Beliau turut memberikan komitmen untuk mengadakan sesi susulan berikutan minat tinggi daripada bakal pelabur,” katanya dalam ucapan perasmian Forum Eksekutif JS-SEZ 2026 di sini, hari ini.

Sementara itu, Raffaele berkata, syarikat Itali berminat melabur dalam sektor minyak dan gas, pembuatan makanan serta semikonduktor.

“Kami mencari projek berkualiti tinggi, bukan sekadar pelaburan secara umum, tetapi pelaburan yang membolehkan syarikat Itali menjadi sebahagian daripada ekosistem yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata, STMicroelectronics sudah mempunyai operasi di Johor, manakala syarikat tenaga ENI sedang melaksanakan projek utama bersama PETRONAS.

“Pengalaman syarikat Itali di zon ekonomi khas Vietnam boleh dimanfaatkan untuk memulakan inisiatif baharu di Malaysia,” ujarnya.

Forum Eksekutif JS-SEZ 2026 anjuran Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) diadakan selepas menerima minat tinggi daripada Itali dan beberapa negara Eropah lain untuk mengetahui dengan lebih mendalam peluang pelaburan di zon berkenaan.

Forum itu menghimpunkan lebih 250 penggubal dasar, pemimpin perniagaan, pelabur dan pihak berkepentingan industri.

Penganjurannya bertujuan mengetengahkan Koridor Ekonomi Malaysia-Singapura sebagai pintu masuk strategik kepada syarikat Eropah yang mahu mengembangkan operasi ke rantau ASEAN.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.