Pelaksanaan penuh BUDI Diesel dijangka kekal lancar, operasi stesen minyak masih terkawal

Permintaan diesel dijangka tidak mengalami sebarang gangguan

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Pelaksanaan sepenuhnya BUDI MADANI Diesel (BUDi Diesel) dijangka kekal lancar tanpa menjejaskan operasi stesen minyak di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengusaha stesen jalani latihan, guna manual dan FAQ; pengguna biasa menggunakan MyKad memudahkan pengesahan.
  • Harga diesel bersubsidi ditetapkan RM2.10 seliter untuk menyasarkan subsidi kepada golongan benar-benar layak.
  • Permintaan dijangka terkawal kerana kebanyakan penggunaan diesel sektor komersial guna SKDS dan kad armada; perhatian khas untuk Sabah dan Sarawak.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berpendapat, ia berdasarkan kelancaran akses awal pembelian diesel bersubsidi di Semenanjung sejak 27 Jun lepas.

“Ahli PDAM juga telah menjalani latihan, selain menggunakan manual operasi serta merujuk soalan lazim yang disediakan oleh syarikat minyak.

“Majoriti pengguna juga telah berpengalaman menggunakan MyKad sebagai kaedah pengesahan, sekali gus memudahkan pelaksanaan sistem tersebut.

“PDAM melihat penetapan harga diesel bersubsidi pada RM2.10 seliter sebagai langkah kerajaan untuk memastikan subsidi diberikan secara lebih bersasar kepada golongan yang benar-benar layak.

“Bagi pengusaha stesen minyak, perkara paling penting ialah memastikan sistem pengesahan berfungsi dengan stabil, proses pembelian mudah difahami pengguna serta tidak mengganggu operasi harian stesen,” katanya ketika dihubungi RTM.

Mengulas mengenai pelaksanaan akses awal Budi Diesel, katanya jumlah pembelian bahan api menerusi program itu masih kecil berbanding keseluruhan jualan diesel di stesen minyak, iaitu kurang daripada 10 peratus.

Justeru, beliau yakin komunikasi berterusan daripada kerajaan dan agensi berkaitan berupaya memastikan pengguna mendapat maklumat tepat, sekali gus mengelakkan kekeliruan berkaitan kelayakan, kuota serta jenis kenderaan yang layak menerima subsidi.

Beliau turut berpandangan,permintaan diesel dijangka tidak mengalami sebarang gangguan memandangkan majoriti penggunaan diesel masih melibatkan sektor komersial, pengangkutan dan logistik yang menggunakan mekanisme seperti Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan kad armada.

“Sekiranya berlaku peningkatan permintaan pengguna individu, keadaannya dijangka masih pada tahap terkawal.

“Namun, perhatian khusus perlu diberikan kepada Sabah dan Sarawak kerana pelaksanaan BUDI Diesel dan SKDS 2.0 bermula serentak.

“Pengusaha stesen dan pengguna mungkin memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan kaedah baharu, termasuk pengguna bukan warganegara yang perlu membeli diesel pada harga pasaran,” katanya.

Pengguna juga dinasihat tidak membuat pembelian panik, dan menyemak kelayakan masing-masing, selain mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi sekiranya masih mempunyai sebarang kekeliruan.

PDAM memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan kerajaan, syarikat minyak dan agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan BUDI Diesel berjalan lancar, selain dapat mencapai matlamat mengurangkan ketirisan subsidi diesel negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.