
ARLINGTON, 1 Julai – Erling Haaland menjaringkan gol kemenangan pada penghujung perlawanan ketika Norway menewaskan Ivory Coast 2-1 untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia, sekali gus mengesahkan pertemuan dengan Brazil pada Ahad ini.
- Antonio Nusa menjaringkan gol cantik enam minit sebelum rehat, menolak bola ke penjuru atas selepas hantaran kapten Martin Odegaard.
- Amad Diallo dimasukkan selepas sejam, melakukan selamat di atas garisan dan menyamakan kedudukan dengan jaringan menarik pada minit ke-74.
- Ivory Coast mengamalkan permainan fizikal; Yan Diomande dijatuhkan tanpa kad, tampil sebagai ancaman utama di bahagian kiri serangan.
- Penjaga gol Norway Orjan Nyland membuat beberapa penyelamatan penting, termasuk menepis percubaan Nicolas Pepe dan gagalkan sepakan percuma akhir.
Penyerang Manchester City itu menolak masuk bola dari jarak dekat pada minit ke-86, dengan jaringan tersebut menjadi gol kelimanya dalam kejohanan kali ini.
Kemenangan itu juga mencatat sejarah penyertaan Norway di Piala Dunia apabila buat pertama kali memenangi perlawanan peringkat kalah mati.
Selepas babak pertama yang seimbang namun agak perlahan, Antonio Nusa meletakkan Norway di hadapan enam minit sebelum rehat menerusi antara gol tercantik kejohanan.
Pemain Manchester United, Amad Diallo, dimasukkan selepas sejam permainan dan segera memberi impak apabila menyelamatkan satu percubaan yang hampir pasti menjadi gol kedua Norway sebelum menyamakan kedudukan menerusi jaringan menarik pada minit ke-74.
Ketika perlawanan dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan, Haaland menyempurnakan hantaran lintang Patrick Berg untuk mencipta detik bersejarah buat Norway.
Norway kini akan menentang juara lima kali, Brazil, di New Jersey pada Ahad bagi perebutan slot suku akhir.
Perlawanan antara Norway dengan Ivory Coast yang mengamalkan corak permainan fizikal itu bermula agak hambar di stadium tertutup milik Dallas Cowboys.
Ivory Coast memperoleh peluang pertama pada minit ke-20 apabila pertahanan Ghislain Konan mara ke dalam kotak penalti Norway dari sebelah kiri, namun percubaannya hanya singgah di jaring sisi.
Pemain dan penyokong Ivory Coast berang sejurus sebelum rehat hidrasi apabila pemain sayap lincah Yan Diomande dijatuhkan ketika melakukan serangan balas di kawasan sendiri.
Pengadil, Jesus Valenzuela tidak melayangkan kad kepada pertahanan Norway, David Moller Wolfe.
Diomande, 19, yang dilaporkan hampir menyertai juara Eropah, Paris Saint-Germain, dari RB Leipzig, semakin menyerlah dan menjadi ancaman utama di bahagian kiri serangan Ivory Coast.
Haaland pula kurang menerima hantaran bola, namun sepatutnya mampu melakukan lebih baik apabila tandukannya mudah ditangkap penjaga gol Yahia Fofana.
Norway akhirnya mendahului menerusi sentuhan berkualiti Nusa yang menerima hantaran kapten Martin Odegaard sebelum melakukan rembatan lencong cantik ke penjuru atas gawang.
Odegaard sendiri kelihatan tidak percaya dengan kehebatan jaringan pemain berusia 21 tahun itu, yang juga rakan sepasukan Diomande di Leipzig.
Anak buah Stale Solbakken menamatkan babak pertama dengan terus mengasak, namun Haaland dinafikan jaringan kedua hasil tindakan cemerlang Ibrahim Sangare yang melakukan sekatan pada saat akhir.
Ivory Coast, yang mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama, memulakan babak kedua dengan sepakan penjuru ke-10 mereka.
Nicolas Pepe hampir menyamakan kedudukan tetapi percubaannya diselamatkan penjaga gol Norway, Orjan Nyland, ketika Ivory Coast meningkatkan tekanan.
Norway pula hampir menggandakan kelebihan menerusi sepakan penjuru, namun Diallo bertindak cemerlang mengeluarkan bola di atas garisan gol.
Penyokong Norway yang semakin yakin pasukan mereka akan mara mula melakukan sorakan ikonik mereka dengan aksi mendayung di tempat duduk penonton.
Tidak lama kemudian, Diallo menggelecek melepasi dua pertahanan sebelum meledak gol penyamaan yang menarik.
Namun Haaland muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan, sebelum Nyland melakukan satu lagi aksi menyelamat gemilang untuk menepis sepakan percuma Diallo pada penghujung permainan, sekali gus memastikan Norway mara ke pusingan 16 terbaik. – AFP