
LONDON, 1 Julai – Frank Lampard menandatangani kontrak baharu bersama Coventry, sekali gus kekal mengendalikan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sehingga 2029.
- Lampard membimbing Coventry kembali ke Liga Perdana selepas 25 tahun dengan menjuarai Liga Kejuaraan musim lalu.
- Dia mengambil alih pada November 2024, membawa pasukan ke saingan kalah mati musim pertama, namun tewas kepada Sunderland pada separuh akhir.
- Lampard menekankan kejayaan hasil usaha bersama, mengajak warga bandar meraikan serta menumpukan persediaan menghadapi musim baharu.
Lampard membimbing The Sky Blues kembali ke saingan liga tertinggi bola sepak England buat kali pertama dalam tempoh 25 tahun selepas memenangi Liga Kejuaraan (Championship) musim lalu.
Bekas pemain tengah England berusia 48 tahun itu mengambil alih pasukan yang berpangkalan di Midlands itu pada November 2024 dan membantu Coventry mara ke saingan kalah mati pada musim pertamanya, namun tewas kepada Sunderland pada separuh akhir.
“Saya gembira dapat menandatangani kontrak baharu. Ia satu penghormatan besar mewakili kelab ini,” kata Lampard, yang kini bersedia menghadapi cabaran dalam Liga Perdana Inggeris.
Lampard, yang sebelum ini pernah mengendalikan Chelsea, Everton dan Derby County berkata, kejayaan meraih Liga Kejuaraan adalah hasil usaha semua pihak yang perlu diraikan.
“Selepas usaha luar biasa semua pihak yang membolehkan kami menjuarai Liga Kejuaraan, seterusnya bersaing di EPL, amat penting untuk kami menikmati detik bersejarah ini. Seluruh warga bandar ini perlu meraikannya bersama-sama.
“Kami akan terus memberi tumpuan kepada pencapaian dan persediaan menghadapi musim baharu. Masih banyak kerja yang perlu dilakukan di dalam dan di luar padang dan proses itu sedang berjalan,” katanya.
Coventry bakal memulakan kempen Liga Perdana Inggeris dengan cabaran sukar apabila bertandang menentang juara bertahan, Arsenal, pada 21 Ogos. – AFP