Pakistan hadir mesyuarat IOC buat kali pertama sebagai anggota penuh

Foto hiasan

HYDERABAD, 30 Jun – Pakistan pada Selasa menyertai mesyuarat pleno Majlis Zaitun Antarabangsa (IOC) buat kali pertama sebagai anggota penuh, susulan perkembangan ketara industri minyak zaitun negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri Rana Tanveer Hussain mengetuai delegasi ke mesyuarat ke-123 dan memberi taklimat mengenai perkembangan sektor zaitun Pakistan.
  • Rantaian nilai lengkap diwujudkan melalui 51 unit pengekstrakan, kemudahan pemprosesan moden, tapak semaian, stesen cuaca dan empat makmal kawalan kualiti.
  • Pakistan mencapai tahap sara diri dalam pengeluaran anak benih zaitun yang diperakui, mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Menteri Keselamatan Makanan Kebangsaan Pakistan Rana Tanveer Hussain mengetuai delegasi negara itu ke mesyuarat ke-123 organisasi antara kerajaan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dianggotai 27 negara itu.

Tanveer memberi taklimat kepada anggota IOC mengenai perkembangan sektor zaitun Pakistan yang kini mempunyai lebih tujuh juta pokok zaitun ditanam di kawasan seluas 55,669 ekar, selain kawasan penanaman zaitun yang terus berkembang di seluruh negara, menurut kenyataan Kementerian Luar.

“Rantaian nilai lengkap dari ladang ke meja telah diwujudkan menerusi 51 unit pengekstrakan minyak zaitun, kemudahan pemprosesan moden, tapak semaian, stesen cuaca serta empat makmal kawalan kualiti yang mematuhi piawaian IOC,” menurut kementerian itu.

Kementerian berkenaan berkata Pakistan kini telah mencapai tahap sara diri dalam pengeluaran anak benih zaitun yang diperakui di dalam negara, dan pencapaian itu turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Pakistan menjadi anggota IOC pada Mei 2026.

IOC dalam satu kenyataan tahun lalu berkata trend perniagaan menunjukkan Pakistan semakin bersepadu dalam aliran perdagangan minyak zaitun global.

Menurut anggaran IOC, pengeluaran minyak zaitun Pakistan bagi musim tanaman 2024/2025 ialah sebanyak 1,500 tan, manakala import dianggarkan sekitar 3,500 tan. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.