
RAMALLAH, 30 Jun – Kerajaan Palestin mendakwa pihak berkuasa Israel terus melakukan pelanggaran hak asasi manusia secara meluas terhadap tahanan Palestin, termasuk penyeksaan, layanan kejam serta penafian rawatan perubatan.
- Tahanan didakwa mengalami renjatan elektrik, posisi menyakitkan lama, penafian tidur, kebuluran serta keganasan seksual.
- Keadaan penjara didakwa tidak berperikemanusiaan: kekurangan makanan dan air, penyebaran penyakit serta penafian akses rawatan kesihatan.
- Lebih 3,376 tahanan ditahan di bawah tahanan pentadbiran tanpa pertuduhan, termasuk 360 kanak-kanak.
- Ratusan bekas tahanan alami trauma fizikal dan psikologi, sesetengah dilaporkan meninggal selepas dibebaskan akibat kesan penderaan.
Dalam Laporan Situasi #92: Wilayah Palestin yang Diduduki bagi tempoh 22 hingga 29 Jun yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri Palestin pada Selasa, kerajaan itu memaklumkan institusi yang mengendalikan hal ehwal tahanan Palestin merekodkan pelbagai bentuk penderaan terhadap tahanan di penjara Israel.
Menurut laporan itu, tahanan didakwa mengalami penderaan fizikal, dipaksa berada dalam posisi yang menyakitkan untuk tempoh lama, dikenakan renjatan elektrik, dinafikan tidur, kebuluran serta keganasan seksual.
Kerajaan Palestin turut mendakwa keadaan di penjara Israel tidak berperikemanusiaan, termasuk kekurangan bekalan makanan dan air, penyebaran penyakit secara sengaja serta penafian akses kepada rawatan kesihatan.
Laporan itu menyatakan lebih 3,376 rakyat Palestin kini ditahan di bawah tahanan pentadbiran tanpa pertuduhan atau perbicaraan, termasuk 360 kanak-kanak.
Selain itu, tiga wanita Palestin yang sedang hamil dan ditahan didakwa berdepan kebuluran, penghinaan, soal siasat secara keras, pemeriksaan badan tanpa pakaian serta kekurangan penjagaan kesihatan pranatal.
Menurut laporan sama, ratusan bekas tahanan mengalami trauma fizikal dan psikologi yang serius, manakala sebahagian daripada mereka dilaporkan meninggal dunia tidak lama selepas dibebaskan akibat kesan penderaan yang didakwa dialami ketika dalam tahanan.
Kerajaan Palestin turut memaklumkan lebih 9,500 rakyat Palestin kini ditahan di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur.
Laporan itu turut mendakwa sejak awal Oktober 2023, sekurang-kurangnya 73,054 rakyat Palestin terbunuh di Gaza, termasuk lebih 21,600 kanak-kanak, manakala 173,480 lagi cedera.
Selain itu, kira-kira 11,200 orang masih dilaporkan hilang, lebih 1,700 petugas kesihatan serta 262 wartawan dan petugas media turut terkorban.
Di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur, kerajaan Palestin mendakwa seramai 1,175 penduduk terbunuh, termasuk 246 kanak-kanak, manakala 12,919 lagi cedera sehingga 22 Jun lalu.
Bagi tempoh 22 hingga 28 Jun, laporan itu merekodkan 362 operasi ketenteraan oleh tentera Israel, 47 insiden tembakan tidak termasuk serangan udara, serta 114 serangan yang didakwa dilakukan oleh penduduk penempatan Israel di Tebing Barat.