
TEHRAN, 30 Jun – Iran dijadual mengadakan rundingan dengan Qatar pada Rabu bagi membincangkan pelaksanaan perjanjian sementara antara Tehran dan Amerika Syarikat (AS), termasuk isu pembebasan aset Iran yang dibekukan.
- Qatar akan terus berperanan sebagai pengantara memastikan pelaksanaan perjanjian antara Tehran dan Washington.
- Dana Iran sebanyak AS$6 bilion yang dibekukan di Qatar masih belum dipindahkan ke Tehran.
- Memorandum persefahaman 14 perkara memberi 60 hari untuk merunding gencatan senjata tetap dan penyelesaian isu program nuklear Iran.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, berkata Qatar akan terus memainkan peranan sebagai pengantara dalam usaha memastikan pelaksanaan perjanjian yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Qatar memaklumkan dana Iran berjumlah AS$6 bilion yang dibekukan di negara itu masih belum dipindahkan kepada Tehran.
Perkembangan itu berlaku ketika menantu Presiden Amerika Syarikat, Jared Kushner, bersama utusan khas AS, Steve Witkoff, tiba di Doha pada Selasa bagi menghadiri rundingan berkaitan konflik tersebut.
Kehadiran mereka menyusuli insiden saling berbalas serangan pada hujung minggu lalu yang menguji keberkesanan perjanjian sementara dicapai antara Washington dan Tehran pada 17 Jun.
Memorandum persefahaman yang mengandungi 14 perkara itu memberikan tempoh 60 hari kepada kedua-dua pihak untuk merundingkan gencatan senjata secara kekal, selain mencari penyelesaian terhadap beberapa isu utama termasuk masa depan program nuklear Iran yang menjadi punca ketegangan sejak serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu.