Wan Arif fokus cari keserasian bersama Khai Xing

Pemain beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi (kanan) ketika sesi latihan skuad badminton kebangsaan di Akademi Badminton Bukit Kiara. Foto/Bernama

KUALA LUMPUR, 30 JUN – Pemain beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi menyatakan kesediaan untuk memikul tanggungjawab membimbing pasangan baharunya, Kang Khai Xing, menjelang Kejohanan Terbuka China pada penghujung Julai ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tekankan komunikasi dua hala dan saling mendengar untuk mencapai keserasian dalam gelanggang.
  • Fokus kini bersama Yap Roy King untuk Terbuka Jepun dengan sasaran sekurang-kurangnya suku akhir.
  • Rombakan pasangan oleh BAM dilihat langkah positif bagi memperkukuh saingan antarabangsa.

Meskipun tampil sebagai pemain senior, atlet berusia 24 tahun itu tetap menekankan kepentingan komunikasi dua hala dan tidak akan mengetepikan pandangan rakan gandingannya.

“Mungkin satu tanggungjawab untuk saya membimbing dia kerana dari segi umur dan pengalaman saya lebih matang. Namun, dia tidak boleh mengikut arahan saya semata-mata kerana saya juga tidak lari daripada melakukan kesilapan.

“Saya perlu mendengar pendapat Khai Xing. Di dalam gelanggang, saya akan bertindak sebagai ketua, tetapi kami tetap perlu saling mendengar untuk mencapai keserasian,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Mengulas mengenai rombakan pemain oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), anak jati Terengganu itu menyifatkan ia sebagai satu langkah positif untuk memberi nafas baharu kepada pemain.

Dalam pada itu, Wan Arif menegaskan komitmennya buat masa ini masih tertumpu kepada gandingan sedia ada, Yap Roy King bagi menghadapi saingan Terbuka Jepun.

“Sekarang latihan masih bersama Roy King dan fokus kami adalah Terbuka Jepun. Kami menyasarkan untuk mara sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir di sana.

“Mengenai penyesuaian dengan Khai Xing nanti, saya percaya ia tidak akan mengambil masa yang lama kerana corak permainannya hampir sama dengan Roy King. Apa yang penting, setiap pasangan yang dirombak perlu cepat menyesuaikan diri,” jelasnya lagi.

Rombakan pasangan beregu negara dilihat sebagai strategi dinamik BAM dalam usaha memperkukuh saingan skuad badminton negara di peringkat antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.