Presiden bola sepak Arab Saudi umum letak jawatan

Yasser Al-Misehal. Foto/AFP

RIYADH, 29 JUN – Presiden Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi, Yasser Al-Misehal mengumumkan peletakan jawatannya selepas skuad Green Falcons tersingkir seawal peringkat kumpulan pada kempen Piala Dunia 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Al-Misehal mengumumkan peletakan jawatan menerusi platform X pada Ahad.
  • Beliau memikul tanggungjawab sepenuhnya, memohon maaf dan menegaskan peluang perlu diberikan untuk membuka lembaran baharu.
  • Beliau memutuskan tidak meneruskan tugas sehingga tamat penggal semasa.
  • Semasa tujuh tahun menerajui, Al-Misehal bantu Arab Saudi peroleh hak penganjuran Piala Dunia 2034, sokong strategi diversifikasi ekonomi.

Al-Misehal mengumumkan peletakan jawatannya menerusi platform X pada Ahad.

“Kegagalan pasukan kebangsaan mara ke pusingan seterusnya Piala Dunia adalah keputusan yang jauh daripada segala harapan kami. Saya memikul tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan ini dan memohon maaf kepada semua yang berharap melihat pasukan kita berada di kedudukan yang lebih baik.

“Rasa tanggungjawab menuntut agar peluang diberikan untuk membuka lembaran baharu. Oleh itu, saya telah memutuskan untuk tidak meneruskan tugas sehingga tamat penggal semasa,” katanya.

Semasa menerajui persekutuan itu selama tujuh tahun, Al-Misehal memainkan peranan penting dalam kejayaan Arab Saudi memperoleh hak penganjuran Piala Dunia 2034, yang menjadi antara tonggak utama strategi negara tersebut untuk mempelbagaikan ekonominya yang selama ini banyak bergantung kepada hasil minyak.

Di pentas Piala Dunia 2026, Arab Saudi menamatkan saingan di tangga tercorot Kumpulan H dengan mengumpul dua mata hasil dua keputusan seri menentang Uruguay dan Cape Verde, selain tewas besar 0-4 kepada Sepanyol. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.