Lebih 80,000 Rumah Mesra Rakyat dibina di seluruh negara

Foto BERNAMA

KUALA NERUS, 28 Jun – Kira-kira 80,600 unit Rumah Mesra Rakyat telah dibina di seluruh negara sejak tahun 2002, membabitkan peruntukan melebihi RM6 bilion.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nilai pembinaan meningkat kira-kira RM15,000, kini sekitar RM90,000 seunit akibat kenaikan kos dan harga bahan binaan.
  • Peminjam diminta membuat bayaran balik pinjaman mengikut jadual supaya dana pusingan membolehkan lebih ramai pemohon mendapat kemudahan.
  • Pemantauan menunjukkan pembayaran balik pinjaman dibuat dengan teratur.
  • Di Terengganu lebih 3,000 unit disasar siap tahun hadapan, lebih 2,400 permohonan menunggu; negeri kedua tertinggi selepas Kelantan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. M. Noor Azman Taib berkata, bagi permohonan baru, nilai pembinaan rumah berkenaan memperlihatkan peningkatan kira-kira RM15,000.

Ia menjadikan nilai pembinaannya kini mencecah RM90,000 seunit dan peningkatan kadar berkenaan susulan kenaikan kos pembinaan dan harga bahan binaan.

“Satu lagi perkara yang saya tekankan ialah peminjam perlu membuat bayaran balik pinjaman kepada SPNB mengikut jadual yang ditetapkan.

“Ini kerana bayaran balik tersebut akan menjadi dana pusingan yang membolehkan lebih ramai pemohon lain mendapat kemudahan pinjaman.

“Setakat pemantauan yang kita lakukan, Alhamdulillah pembayaran balik pinjaman dibuat dengan teratur,” katanya.

Beliau sebelum itu menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Kunci Rumah Mesra Rakyat kepada 50 penerima di sini hari ini.

Di Terengganu, lebih 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat disasarkan siap menjelang tahun hadapan dan lebih 2,400 permohonan masih berada dalam senarai menunggu.

Pencapaian itu bakal meletakkan Terengganu sebagai negeri penerima kedua tertinggi bagi program berkenaan selepas Kelantan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.