Lapan PATI warga Myanmar ditahan cuba masuk melalui laluan laut

Sebahagian PATI dipercayai warga Myanmar yang ditahan Maritim Malaysia Kelantan/Foto RTM

PASIR PUTEH, 28 Jun – Cubaan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai warga Myanmar memasuki negara ini secara haram melalui laluan laut dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kelantan dalam operasi di kawasan Pasir Pekan Hilir, Tumpat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aset Maritim mengesan bot tanpa lampu bergerak laju dari Kuala Besar ke Kota Bharu; bot meloloskan diri selepas kejar-mengejar.
  • Maritim menemui bot sedang menurunkan penumpang di Kampung Pasir Pekan Hilir; pencarian menemui lapan orang bersembunyi dalam semak.
  • Pemeriksaan mendapati lima lelaki dan tiga wanita dipercayai warga Myanmar tanpa dokumen perjalanan sah.
  • Kes disyaki transit ke Kuala Lumpur, setiap PATI didakwa membayar kira-kira RM6,000 kepada ejen; semua ditahan mengikut Akta Imigresen.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, tangkapan dilakukan kira-kira pukul 12.20 tengah malam pada 24 Jun lalu menerusi Op Naga, Op Damai, Op Pelantar Merah dan Op Tiris yang dilaksanakan di Sungai Kelantan.

Menurut beliau, sekitar pukul 11.47 malam, aset Maritim Malaysia mengesan sebuah bot tanpa lampu bergerak laju dari Kuala Besar menuju ke Kota Bharu dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun, bot berkenaan berjaya meloloskan diri selepas berlaku aksi kejar-mengejar.

Operasi pencarian diteruskan sebelum anggota Maritim Malaysia menemui bot terbabit sedang menurunkan penumpang di Kampung Pasir Pekan Hilir, Tumpat

“Walau bagaimanapun, pencarian diteruskan di sepanjang Sungai Kelantan sehingga membawa kepada penemuan sebuah bot yang sedang menurunkan orang di tebing sungai di Kampung Pasir Pekan Hilir.

“Menyedari kehadiran bot kita, bot tersebut memecut meninggalkan tempat kejadian melalui jalan tikus. Anggota kemudiannya melaksanakan pencarian dan menemukan lapan orang yang bersembunyi dalam semak berhampiran.”

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua individu terbabit terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita dewasa yang dipercayai warga Myanmar. Mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai memasuki negara ini tanpa melalui pintu masuk yang diwartakan.”

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Maritim Tok Bali.

Siasatan awal mendapati kumpulan terbabit dipercayai menjadikan Kelantan sebagai lokasi transit sebelum dibawa ke Kuala Lumpur untuk bekerja dalam sektor perkilangan.

Berdasarkan modus operandi sebelum ini, setiap PATI dipercayai membayar kira-kira RM6,000 seorang kepada ejen penyeludupan bagi memasuki negara ini.

Kesemua PATI ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk proses dokumentasi sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.