Empat cubaan edar rokok seludup dipatahkan, rampasan lebih RM807,700

Sebahagian rokok seludup yang dirampas JKDM Terengganu dalam empat serbuan berasingan di Kelantan dan Terengganu/Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 28 Jun – Empat kegiatan sindiket pengedaran rokok seludup pelbagai jenama yang dipercayai untuk pasaran Terengganu berjaya dipatahkan menerusi operasi berasingan di Kelantan dan Terengganu sepanjang April hingga Mei lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan bernilai melebihi RM807,700 termasuk duti dan cukai.
  • Lebih 944,000 batang rokok putih dan kretek serta beberapa kenderaan turut dirampas.
  • Rampasan terbesar: 400,000 batang rokok disyaki tidak berkastam di tapak pembinaan, disimpan dalam kabin.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967, hukuman denda hingga 20 kali ganda atau RM500,000 dan penjara hingga lima tahun.

Rampasan membabitkan nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai melebihi RM807,700.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu, Hasbollah Din berkata, rampasan itu melibatkan lebih 944,000 batang rokok putih dan kretek, selain beberapa kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan.

Menurut beliau, rampasan terbesar membabitkan 400,000 batang rokok yang disyaki tidak berkastam di sebuah tapak pembinaan terbiar di Besut dengan nilai melebihi RM321,000.

Beliau berkata, sindiket dipercayai menggunakan kabin di tapak pembinaan tersebut sebagai lokasi penyimpanan rokok bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Modus operandi ini pelbagai. Jika perancangan pertama gagal, mereka akan mencuba kaedah lain. Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara daripada segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan rakyat. JKDM menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Stor Penguatkuasaan JKDM Terengganu, di sini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 serta penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, JKDM Terengganu merekodkan rampasan keseluruhan bernilai RM3.44 juta, termasuk RM2.38 juta melibatkan duti dan cukai, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.