
CARACAS, 28 Jun — Seorang bayi dan ibunya yang masih hidup berjaya diselamatkan dari bawah runtuhan selepas empat hari kejadian gempa bumi kuat yang menggegarkan Venezuela berlaku.
- Angka korban dilaporkan melebihi 1,400 orang selepas gempa, dengan ratusan gegaran susulan mengganggu usaha pemulihan.
- Lebih 1,600 anggota penyelamat antarabangsa telah tiba, dengan pasukan tambahan dijangka menyusul.
- Kekurangan jentera berat dan kehadiran pihak berkuasa terhad menyukarkan pengeluaran mangsa dan mayat oleh keluarga serta sukarelawan.
Tindakan mengeluarkan mangsa tersebut dilakukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Amerika Syarikat bersama anggota bomba tempatan.
Rakaman video pada Sabtu menunjukkan bayi lelaki berusia sembilan bulan itu diselamatkan bersama ibunya.
“Kedua-dua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan,” jelasnya.
Pada Sabtu dilapor angka korban meningkat melebihi 1,400 orang.
Dalam pada itu, pasukan penyelamat dari luar negara mula tiba secara berperingkat bagi membantu pihak berkuasa tempatan mengesan mangsa yang terselamat, khususnya di kawasan pesisir pantai yang menerima impak paling teruk.
Setakat ini, anggota penyelamat telah dikerahkan ke seluruh wilayah La Guaira dan beberapa bahagian di bandar raya Caracas.
Di kawasan tersebut, ahli keluarga mangsa bersama sukarelawan dilapor mengeluarkan mangsa yang terselamat serta mayat daripada timbunan runtuhan meskipun terpaksa berdepan kekangan ekoran kekurangan jentera berat dan kehadiran pihak berkuasa yang terhad.
Pihak berkuasa menyatakan lebih 1,600 anggota penyelamat antarabangsa telah tiba di negara tersebut dengan beberapa lagi pasukan tambahan dijangka menyusul.
“Usaha ini merupakan sebahagian daripada peningkatan maklum balas antarabangsa bagi membantu Venezuela menangani impak bencana gempa bumi pada Rabu lalu, yang turut mencetuskan ratusan kejadian gempa susulan,” katanya.- REUTERS