Cuaca panas ekstrem tingkat amaran kecemasan, lonjak angka kematian

Foto Hiasan

BERLIN, 28 Jun – Gelombang haba yang melanda Eropah ketika ini dilapor bergerak ke arah timur, sekali gus menyaksikan rekod suhu tertinggi sepanjang zaman terus diatasi di beberapa negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Amaran kecemasan ditingkatkan susulan lonjakan kematian dan gangguan terhadap sistem kesihatan.
  • Kematian luar biasa meningkat di Perancis; Sepanyol laporkan 212 kematian berkaitan gelombang haba dalam empat hari.
  • Hospital di Paris catat peningkatan 36% kemasukan kecemasan; Vienna perkhidmatan kecemasan 15% lebih sibuk, staf ditambah segera.
  • Agensi Jerman keluarkan amaran merah; rekod suhu 41.5 darjah dicatat, kemungkinan mencecah hampir 42 darjah.

Situasi kritikal itu memaksa peningkatan amaran kecemasan berikutan lonjakan angka kematian serta gangguan kepada sistem perkhidmatan kesihatan.

Ahli Meteorologi Jerman memberi amaran, lebih banyak rekod suhu akan dipecahkan sepanjang hujung minggu ini.

Pada masa sama, negara di bahagian timur benua tersebut mula mengeluarkan amaran merah bagi mendepani hari-hari mendatang.

Dianggarkan hampir 200 juta penduduk berdepan suhu melebihi 35 darjah celsius pada Sabtu, ketika cuaca panas ekstrem luar biasa terus berlarutan di Britain, Perancis dan Switzerland sebelum ini.

Menteri Kesihatan Perancis, Stephanie Rist mengesahkan berlaku peningkatan kadar kematian yang luar biasa tinggi di seluruh negara akibat gelombang haba tersebut.

“Petunjuk semasa menyatakan angka kematian berkemungkinan besar adalah lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas,” jelas beliau.

Sementara itu, pihak berkuasa Sepanyol melaporkan sebanyak 212 kes kematian dicatatkan dalam tempoh empat hari, yang dikaitkan secara langsung dengan impak gelombang haba.

Tekanan terhadap sistem kesihatan turut meruncing apabila hospital di Paris mencatatkan lonjakan kemasukan ke bilik kecemasan sebanyak 36 peratus pada Jumaat dan Sabtu.

Di Vienna, Austria, perkhidmatan kecemasan menjadi 15 peratus lebih sibuk daripada biasa, memaksa penambahan kakitangan hospital dilakukan dengan kadar segera.

Dalam pada itu, Agensi Kaji Cuaca Jerman telah mengeluarkan amaran merah bagi sebahagian besar wilayahnya selepas mencatatkan suhu tertinggi dalam sejarah negara itu mencecah 41.5 darjah celsius di timur Jerman pada lewat petang Sabtu.

“Pihak kami juga tidak menolak kemungkinan suhu boleh menghampiri 42 darjah celsius dalam masa terdekat,” katanya.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.