
KUALA LUMPUR, 28 Jun – Proses pendigitalan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kini semakin mencabar dengan setiap perniagaan turut dituntut menyesuaikan diri dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin pesat berkembang.
- Dulu pendigitalan PKS tertumpu pada media sosial, perisian asas dan sistem pengurusan pelanggan.
- Kini pendigitalan memerlukan penggunaan AI dan pengemaskinian berterusan kerana perkembangan AI berubah hampir setiap minggu.
- Penjenamaan semakin penting untuk membina kepercayaan pengguna di platform digital.
- Penjenamaan bukan sekadar logo; ia melibatkan hubungan asli dan manusiawi, mencari keseimbangan antara kandungan AI dan manusia.
Pengasas Bersama agensi pemasaran Pandan Social, Daniel Woodroof berkata, jika sebelum ini, proses itu lebih tertumpu kepada penggunaan media sosial, perisian asas atau sistem pengurusan dalam talian tetapi keadaan semasa memerlukan perniagaan untuk sentiasa kekal dengan peredaran masa.
Jelas beliau, keadaan itu menjadikan proses pendigitalan lebih mencabar berbanding sebelum ini, namun tetap tidak dapat dielakkan bagi memastikan daya saing perniagaan terus kekal relevan.
“Lima tahun lalu pendigitalan bagi jenama, khususnya PKS lebih tertumpu kepada kehadiran di media sosial, penggunaan pelbagai jenis perisian atau sistem pengurusan perhubungan pelanggan, serta perkara-perkara asas dalam pemasaran.
Tetapi kini, lebih daripada sebelumnya, pendigitalan bermaksud penggunaan AI dan pada masa sama perlu sentiasa mengikuti perkembangan AI yang berubah hampir setiap minggu. Jadi, saya berpendapat proses pendigitalan kini lebih mencabar berbanding sebelum ini,” katanya.
Pada masa sama, Woodroof berkata aspek penjenamaan juga menjadi semakin penting dalam membina kepercayaan pengguna di platform digital.
Beliau memaklumkan, penjenamaan bukan sekadar menghasilkan logo atau kandungan di media sosial, sebaliknya melibatkan usaha membina hubungan yang lebih asli dan bersifat manusiawi dengan khalayak sasaran.
“Adakah kita akan sampai ke satu tahap apabila pelanggan tidak lagi mahu melihat apa-apa kandungan yang dihasilkan AI, sebaliknya beralih kepada penghasilan kandungan yang sepenuhnya dibuat oleh manusia seperti yang diamalkan sebelum ini?
“Saya percaya akhirnya kita akan menemui keseimbangan di antara kedua-duanya, namun kita perlu perlu tunggu dan lihat perkara itu,” katanya.