
JASIN, 27 Jun– Sebanyak RM70 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri Melaka tahun ini bagi melaksanakan pelbagai inisiatif melibatkan golongan muda termasuk memperkasa fasiliti sukan.
- Kerajaan negeri komited membangunkan potensi belia melalui pelbagai inisiatif dan program.
- Belia digalakkan merancang masa depan sejak awal agar lebih bersedia memikul tanggungjawab dan memimpin.
- Kerajaan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan program kepimpinan bagi menjamin masa depan golongan muda.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan potensi belia.
Jelas beliau, inisiatif itu juga antara langkah yang diambil dalam menyediakan lebih banyak peluang untuk golongan itu berkembang.
Menurut Datuk Seri Ab Rauf, Melaka kini mempunyai hampir 243,000 belia yang perlu bersedia meneroka pelbagai bidang, termasuk kepimpinan, sebagai persediaan memimpin pada masa hadapan.
“Anak-anak muda perlu mula merancang masa depan mereka sejak usia muda.
Apabila mencapai kematangan, mereka akan lebih bersedia memikul tanggungjawab dan memimpin dalam pelbagai bidang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Belia Peringkat Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka di Stadium Jasin.
Selain pembangunan kepimpinan, Ab Rauf berkata kerajaan negeri turut komited menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan bagi membantu menjamin masa depan golongan belia.