
SHAH ALAM, 27 Jun– Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam sedia memulakan operasi dan bakal menjadi rangkaian rel bandar yang mengaplikasikan pelbagai teknologi hijau.
- Teknologi hijau termasuk brek regeneratif, sistem penyaman udara inverter berpenyelarasan sensor suhu dan beban, pengudaraan serta pencahayaan semula jadi dan pintar.
- Laluan 37.8 kilometer merangkumi 20 stesen, 2.5 km bawah tanah; perjalanan sekitar 70 min, operasi 6.00 hingga 24.00, kekerapan 8 min puncak.
- Memberi manfaat kira-kira dua juta penduduk, memperkukuh kesalinghubungan, mengurangkan kesesakan; Park and Ride 2,300 petak, bas sambungan dan kemudahan OKU.
Ketua Operasi Laluan Shah Alam, Mohd Ariffin Idris berkata, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kecekapan tenaga, sekali gus menyokong pembangunan sistem pengangkutan awam rendah karbon.
Jelas beliau, antara teknologi yang digunakan ialah sistem brek regeneratif yang membolehkan tenaga ketika tren membrek digunakan semula untuk menggerakkan kemudahan seperti lampu dan lif di stesen.
“Kami mengaplikasikan teknologi hijau melalui penggunaan sistem penyaman udara inverter dengan sensor suhu dan beban bagi meningkatkan kecekapan tenaga.
Stesen turut memanfaatkan pengudaraan dan pencahayaan semula jadi, manakala tren dilengkapi sistem pencahayaan pintar yang melaras tahap kecerahan mengikut keadaan persekitaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada lawatan khas media bagi meninjau operasi LRT Laluan Shah Alam.
Projek itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira dua juta penduduk di sepanjang jajarannya.
Ia turut memperkukuh kesalinghubungan pengangkutan awam di koridor barat Lembah Klang, selain membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Laluan sepanjang 37.8 kilometer itu merangkumi 20 stesen, termasuk 2.5 kilometer jajaran bawah tanah.
Ia turut menyediakan dua stesen pertukaran utama di Bandar Utama yang menghubungkan Laluan Kajang serta Glenmarie 2 yang menghubungkan Laluan Kelana Jaya,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan, perjalanan sepanjang laluan berkenaan dijangka mengambil masa kira-kira 70 minit.
Operasi tren bermula pada pukul 6.00 pagi hingga 12.00 tengah malam dengan kekerapan tren setiap lapan minit pada waktu puncak dan 10 hingga 15 minit di luar waktu puncak.
“Prasarana menyasarkan 67,000 penumpang sehari pada tahun pertama operasi.
Jumlah itu dijangka meningkat kepada 117,708 penumpang sehari dalam tempoh lima tahun,” katanya lagi.
Dalam pada itu, kemudahan ‘Park and Ride’ dengan kapasiti 2,300 petak disediakan di enam stesen terpilih.
Perkhidmatan bas perantara, Rapid On-Demand serta pelbagai kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) turut disediakan bagi melengkapkan perjalanan penumpang.
Projek bernilai RM16.63 bilion itu dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.