
PUTRAJAYA, 27 Jun – Kerajaan bersetuju memperluaskan pelaksanaan subsidi diesel menerusi Budi Madani Diesel (Budi Diesel) kepada peniaga kecil yang memiliki kenderaan diesel jenis jip dan pikap yang didaftarkan atas nama syarikat, susulan keputusan dasar yang dipersetujui Jemaah Menteri.
- Budi Diesel sebelum ini hanya untuk kenderaan berdaftar atas nama individu; SKDS khusus untuk syarikat pengangkutan dan kategori terpilih.
- Keputusan berlandaskan tiga prinsip: kos sara hidup, pengurusan risiko ketirisan, dan kedudukan serta ruang fiskal negara.
- Pemohon boleh mohon tambahan kuota 100 liter secara dalam talian; LHDN sediakan bantuan, pejabat Sabah dan Sarawak dibuka Ahad sebelum pelaksanaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah itu dibuat bagi memastikan golongan peniaga kecil yang sebelum ini tidak layak menerima subsidi akibat status pendaftaran kenderaan mereka turut menikmati manfaat berkenaan.
Katanya, sebelum ini Budi Diesel hanya diberikan kepada pemilik kenderaan diesel yang didaftarkan atas nama individu, manakala subsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dikhususkan kepada syarikat pengangkutan awam dan pengangkutan barangan di bawah kategori tertentu.
“Semalam kabinet telah membuat keputusan dasar, Budi Diesel diperluaskan kerana melihat mereka ini adalah peniaga-peniaga kecil yang perlu kita santuni,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Turun Padang bersempena Pelaksanaan Budi Madani Diesel di Stesen Shell Presint 18, di sini, hari ini.
Datuk Armizan berkata keputusan itu merupakan antara penambahbaikan terhadap mekanisme penyasaran subsidi selepas kerajaan meneliti maklum balas rakyat.
“Apa juga strategi dan pendekatan yang kita laksanakan adalah berlandaskan tiga prinsip utama, iaitu melihat kepada faktor kos sara hidup rakyat, pengurusan risiko ketirisan serta kedudukan dan ruang fiskal negara,” katanya.
Beliau berkata KPDN bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pengangkutan akan memperincikan mekanisme pelaksanaan supaya keputusan dasar itu dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa penerima Budi Diesel yang memiliki kenderaan diesel jenis jip dan pikap boleh memohon tambahan kuota subsidi sebanyak 100 liter, menjadikan jumlah keseluruhan kuota kepada 300 liter.
Beliau berkata masih terdapat kekeliruan dalam kalangan orang ramai, khususnya di Sabah dan Sarawak, yang menyangka kuota subsidi bagi Budi Madani Diesel dihadkan kepada 200 liter sahaja.
“Sebenarnya kuota asas adalah 200 liter untuk semua pemilik kenderaan diesel yang berdaftar atas nama individu. Tetapi bagi mereka yang mempunyai kenderaan jenis jip dan pikap, mereka boleh memohon tambahan 100 liter lagi, menjadikan jumlah keseluruhannya 300 liter.
“Ini bukan hanya untuk Sabah, Sarawak dan Labuan, tetapi terpakai di seluruh negara. Jadi saya menggalakkan mereka yang layak supaya segera memohon tambahan kuota 100 liter itu,” katanya.
Permohonan tambahan kuota boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal Budi Madani, manakala mereka yang kurang mahir menggunakan kemudahan digital boleh mendapatkan bantuan di cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di seluruh negara.
Semua pejabat LHDN di Sabah dan Sarawak turut dibuka pada Ahad bagi membantu orang ramai mengemukakan permohonan sebelum pelaksanaan penuh Budi Madani Diesel bermula 1 Julai ini.