
KULAI, 27 JUN – Pakatan Harapan (PH) dijangka melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dalam masa terdekat selepas mendapat pengesahan akhir daripada kepimpinan tertinggi gabungan itu pada Isnin.
- Jawatankuasa Manifesto telah memuktamadkan draf tawaran PH.
- Manifesto akan tampil lebih realistik, praktikal dan mudah difahami rakyat.
- Kandungan merangkumi kestabilan ekonomi, kebajikan rakyat, tadbir urus baik dan pengagihan pembangunan adil.
- Menekankan politik berasaskan prestasi dan mengelakkan politik identiti yang menimbulkan ketegangan.
Ketua Setiausahanya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jawatankuasa Manifesto telah memuktamadkan draf tawaran berkenaan.
Beliau menegaskan, manifesto kali ini akan tampil dengan pendekatan lebih realistik, praktikal dan mudah difahami rakyat berbanding manifesto terdahulu yang lebih panjang dan bersifat idealistik.
“Kali ini kami akan tampilkan satu kerangka manifesto yang realistik, yang nyata, yang munasabah. Isi kandungan atau kerangka tawaran manifesto akan kami umumkan dalam sedikit masa lagi kerana ia tertakluk kepada pengesahan akhir yang akan dibuat pada Isnin nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program turun padang bertemu calon-calon PH yang bertanding di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor.
Mengulas lanjut mengenai manifesto PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata manifesto itu merangkumi pelbagai aspek termasuk usaha menjamin kestabilan dan kemakmuran ekonomi, mengutamakan kebajikan rakyat, memperkukuh kestabilan politik, mewujudkan tatakelola yang baik, meningkatkan hasil negeri serta memastikan pengagihan pembangunan yang adil kepada rakyat.
Manifesto berkenaan turut mengetengahkan politik berasaskan prestasi dan mengelakkan politik identiti yang hanya menimbulkan ketegangan serta rasa tidak percaya dalam kalangan masyarakat.