PM umum peruntukan RM1.5 juta perluas akses bantuan guaman syarie

Perdana Menteri berucap pada Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie 2026/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 27 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan RM1.5 juta kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia bagi memperluas akses bantuan guaman syarie kepada golongan kurang berkemampuan melalui Program Bantuan Guaman Syarie (BAGUS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Akses keadilan perlu diberi perhatian; ramai golongan miskin dan ibu tunggal hadapi kesukaran mendapatkan wakil guaman di Mahkamah Syariah.
  • Perundangan, mahkamah, peguam dan hakim baik, namun masalah akses kepada perundangan masih belum selesai.
  • Anwar menafikan dakwaan wujud penentangan pemimpin bukan Islam terhadap pengukuhan Mahkamah Syariah atau pindaan undang-undang Islam.
  • Kerajaan pilih penerangan terbuka dan perbincangan awam, bukan konfrontasi, sambil mengekalkan komitmen memperkasakan institusi Islam.

Beliau berkata akses kepada keadilan perlu diberi perhatian kerana masih ramai, khususnya golongan miskin dan ibu tunggal yang berdepan kesukaran mendapatkan representasi guaman di Mahkamah Syariah.

“Kita ada perundangan yang baik, mahkamah yang baik, peguam yang baik dan hakim yang baik, tetapi masalah akses itu belum tentu.

“Selalunya dalam sistem perundangan, orang yang berkemampuan mendapat peguam terbaik, tetapi orang yang paling miskin kadang-kadang tidak ada akses,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie 2026, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau menegaskan sepanjang meneraju negara, pihaknya tidak pernah berdepan bantahan termasuk daripada menteri bukan Islam terhadap usaha kerajaan memperkukuh kedudukan Mahkamah Syariah serta memperkenalkan penambahbaikan berkaitan undang-undang Islam.

Datuk Seri Anwar turut menafikan dakwaan kononnya wujud penentangan daripada pemimpin bukan Islam terhadap perkara itu dan tuduhan berkenaan ternyata tidak berasas selain bercanggah dengan keadaan sebenar dalam pentadbiran kerajaan.

Katanya, setiap cadangan berkaitan undang-undang Islam wajar diberikan penjelasan kepada semua pihak, termasuk masyarakat bukan Islam, bagi memastikan mereka memahami skop, tujuan serta bidang kuasa sesuatu pindaan atau dasar yang ingin dilaksanakan.

“Tapi seperti mana yang saya jelaskan, berdasarkan pengalaman saya dalam tiga tahun lebih menjadi Perdana Menteri sehingga sekarang, belum ada satu yang dibangkitkan termasuk tambahan peruntukan kedudukan Mahkamah Syariah yang dibantah oleh mana-mana menteri termasuk menteri bukan Melayu.

“Ini berbeza dengan tohmahan di luar. Hangat sekarang di Johor dan Negeri Sembilan. Saya beritahu perkara yang betul. Ini adalah fakta. Saya tidak ada masalah sekiranya ditanya mengenainya,” katanya.

Beliau menekankan bahawa pendekatan melalui penerangan secara terbuka adalah lebih berkesan berbanding mewujudkan konfrontasi, selain yakin hujah dalam mempertahankan syariat Islam cukup kukuh untuk menjawab sebarang persoalan yang dibangkitkan.

Jelasnya, kerajaan memilih cara berhemah dengan mendapatkan pandangan pelbagai pihak serta memberi ruang kepada proses penjelasan sebelum sesuatu dasar dilaksanakan, tanpa menjejaskan komitmen terhadap agenda memperkasakan institusi Islam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.