Kerajaan pergiat usaha memperkasa teknologi dron, AI

Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Ekspo Dron Malaysia (MyDrone) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS). Foto/Bernama

SERDANG, 27 JUN – Teknologi dron dan kecerdasan buatan (AI) antara bidang teknologi baharu yang akan terus diteroka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan mengarahkan kabinet, kementerian dan agensi segera memberi sokongan penuh kepada industri pesawat tanpa pemandu (UAV).
  • Malaysia perlu bergerak pantas memajukan industri dron dan AI sambil memanfaatkan kejayaan pelaburan semikonduktor dan pusat data.
  • Dron dijangka memacu pasaran kerja dan pertumbuhan ekonomi, dengan aplikasi luas termasuk meningkatkan produktiviti pertanian.
  • Negara digesa manfaatkan peluang pasaran UAV global menjelang 2030 melalui integrasi AI dan pendigitalan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia kini perlu bergerak pantas membangunkan industri berkenaan selepas kejayaan menarik pelaburan dalam industri semikonduktor dan pusat data.

“Negara kita pernah menjadi gergasi dalam pengeluaran getah dan bijih timah. Kalau kita tumpu, kita boleh menjadi pengeluar utama. Kita beralih ke bidang industri peringkat rendah sebelum meningkat lagi dalam bidang baharu.

“Sekarang Malaysia dengan strategi semikonduktor yang baharu menjadi tarikan dan pengeluaran semikonduktor kita di antara yang paling kuat di rantau ini. Sebab itu strategi semikonduktor kita berhasil tetapi kita juga perlu meningkat lagi. Sekarang bidang AI dan pusat data menjadikan Malaysia antara tumpuan utama di rantau ini,” katanya.

Perdana Menteri berucap pada Majlis Perasmian Penutup Ekspo Dron Malaysia (MyDrone) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini.

Menurutnya, Malaysia juga perlu memberi perhatian kepada industri dron yang diyakini mampu membangunkan lagi pasaran kerja dan pertumbuhan ekonomi.

Ke arah itu, katanya, kerajaan telah mengarahkan kabinet, kementerian berkaitan serta semua agensi untuk segera memberikan sokongan kepada industri pesawat tanpa pemandu (UAV) yang berkait langsung dengan industri dron.

“Sekarang industri dron dan yang berkaitan diberikan sokongan, bukan sahaja untuk pesawat udara dan industri pertahanan tetapi juga untuk pelbagai aktiviti. Contohnya dalam perladangan, saya telah melihat penggunaan dron yang luar biasa untuk membantu meningkatkan produktiviti menerusi teknologi baharu dron dan AI,” ujarnya.

Tegas Datuk Seri Anwar, usaha membangunkan industri dron perlu dimanfaatkan seiring perkembangan teknologi AI dan pendigitalan yang terus berkembang di negara ini.

Menjelang 2030, nilai pasaran global UAV dijangka melepasi $AS55 billion, sekali gus membuka peluang untuk Malaysia memanfaatkannya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.