
KUALA LUMPUR, 27 Jun – Data pasaran buruh serta petunjuk ekonomi utama Amerika Syarikat (AS) yang bakal diterbitkan minggu depan dijangka menjadi penentu utama arah aliran ringgit, dengan mata wang tempatan diunjur bergerak sekitar RM4.09 hingga RM4.11 berbanding dolar AS.
- Pelabur tumpu pada data pasaran buruh AS, terutama NFP dan kadar pengangguran, sebagai penentu utama arah ringgit.
- Indeks ISM sektor pembuatan dan perkhidmatan serta Indeks Keyakinan Pengguna dijangka mempengaruhi jangkaan terhadap dasar kadar faedah Fed.
- Harga minyak lebih rendah dan risiko geopolitik reda dijangka mengehadkan pengukuhan dolar AS, menyokong penguatan ringgit secara beransur ansur.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, tumpuan pelabur akan terarah kepada data pasaran buruh AS, khususnya statistik Penggajian Bukan Perladangan (NFP) dan kadar pengangguran.
Jelas beliau, pelabur akan turut memantau data Indeks Institut Pengurusan Bekalan (ISM) bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan, selain Indeks Keyakinan Pengguna AS yang akan menjadi petunjuk kepada jangkaan pasaran terhadap hala tuju kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed).
Sementara itu, Kenanga Investment Bank Berhad pula berpandangan data pasaran buruh tersebut akan membantu pelabur menilai sama ada jangkaan pasaran terhadap pendirian Fed berhubung kadar faedah adalah berasas atau sebaliknya.
Menurut bank pelaburan itu, harga minyak mentah yang lebih rendah serta risiko geopolitik yang semakin reda dijangka mengehadkan pengukuhan dolar AS, sekali gus menyokong pengukuhan ringgit secara beransur-ansur.
Dalam pada itu, bagi asas perbandingan Jumaat ke Jumaat, ringgit mengukuh kepada 4.0860/4.0910 berbanding dolar AS daripada 4.1340/4.1395 pada minggu sebelumnya.