Bazar Agro Warisan 2026 ketengah konsep ‘Desaku di Putrajaya’

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir.

PUTRAJAYA, 27 JUN – Bazar Agro Warisan 2026 kembali dianjurkan di Taman Warisan Pertanian, Presint 16 selama dua hari bermula hari ini dengan mengetengahkan pengalaman kehidupan desa kepada masyarakat bandar menerusi konsep ‘Desaku di Putrajaya’.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menjadi platform jualan sambil memperkenalkan budaya dan warisan kehidupan kampung kepada generasi muda bandar.
  • Pelbagai aktiviti warisan: demonstrasi menanam padi, menoreh getah, menangkap belut, mengacau dodol, mengukur kelapa, pertandingan mengail joran buluh.
  • Lebih 120 usahawan dan 100+ lot gerai, majoriti dari Putrajaya; peniaga luar turut menawarkan hasil tani, makanan tradisional, kraftangan dan produk PKS.
  • Sasaran jualan RM250,000 dan kehadiran 5,000–6,000; memperkukuh Taman Warisan sebagai Living Agro Heritage Park serta pengalaman urban kampung.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir berkata, penganjuran kali ke-6 itu bukan sekadar menyediakan platform jualan kepada usahawan tempatan, malah bertujuan memperkenalkan budaya dan warisan kehidupan kampung kepada generasi muda yang membesar di bandar.

Menurutnya, kebanyakan kanak-kanak yang membesar di Putrajaya tidak pernah merasai sendiri suasana kehidupan desa seperti menanam padi, menoreh getah dan menangkap belut di sawah.

“Melalui program ini, kita mahu membawa pengalaman itu ke Putrajaya supaya anak-anak dapat melihat dan merasai sendiri bagaimana kehidupan masyarakat kampung suatu ketika dahulu,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi lawatan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, ke Bazar Agro Warisan di sini.

Pelbagai aktiviti berteraskan warisan turut disediakan sepanjang dua hari penganjuran, antaranya demonstrasi menanam padi, menangkap belut di sawah, menoreh dan memproses getah secara tradisional, mengacau dodol, mengukur kelapa serta pertandingan mengail menggunakan joran buluh.

Pengunjung juga berpeluang menyertai program “piknik durian” bersempena musim durian, selain pelbagai aktiviti interaktif yang memperkenalkan makanan tradisional dan budaya masyarakat desa.

Dalam pada itu, lebih 100 lot gerai disediakan kepada usahawan, majoritinya dari Putrajaya, selain penyertaan peniaga dari luar bagi mempelbagaikan produk yang ditawarkan kepada pengunjung.

Secara keseluruhannya, bazar itu menghimpunkan lebih 120 usahawan yang menawarkan pelbagai hasil tani segar, makanan tradisional, kraftangan dan produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan sasaran nilai jualan sekurang-kurangnya RM250,000.

PPj menyasarkan kehadiran lebih 5,000 hingga 6,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran, sekali gus memperkukuh usaha menjadikan Taman Warisan Pertanian sebagai Living Agro Heritage Park dan Urban Village Experience Putrajaya, yang menggabungkan elemen pendidikan, rekreasi serta pemeliharaan warisan pertanian negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.