
KUALA LUMPUR, 27 Jun – Bursa Malaysia dijangka kembali mengukuh minggu depan apabila pelabur mengalihkan tumpuan daripada saham teknologi berpertumbuhan tinggi kepada saham defensif dan saham berwajaran tinggi susulan persekitaran pasaran global yang lebih berhati-hati.
- Pelabur dijangka mengimbangi semula portfolio selepas saham teknologi mencatat prestasi kukuh.
- Tumpuan beralih ke sektor kewangan, penjagaan kesihatan, pengguna dan saham defensif dengan pulangan lebih stabil serta dividen menarik.
- Penurunan Indeks FBM KLCI akan merangsang aktiviti belian ketika harga rendah, terutamanya saham mewah berasas kukuh.
- Malaysia berpotensi menarik minat pelabur asing semula kerana penilaian pasaran lebih menarik, asas ekonomi domestik kompetitif dan prospek keuntungan korporat meningkat.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd Sedek Jantan berkata, pelabur dijangka mengimbangi semula portfolio masing-masing selepas saham teknologi mencatat prestasi kukuh sejak beberapa minggu lalu.
Katanya, tumpuan dijangka beralih kepada sektor kewangan, penjagaan kesihatan, berkaitan pengguna serta saham defensif yang menawarkan pulangan lebih stabil dan dividen menarik.
Beliau turut menjangkakan penurunan Indeks FBM KLCI di bawah paras 1,680 minggu ini akan merangsang aktiviti belian ketika harga rendah, khususnya bagi saham mewah yang mempunyai asas kukuh.
Selain itu, Malaysia juga berpotensi menarik semula minat pelabur asing berikutan penilaian pasaran yang lebih menarik, disokong asas ekonomi domestik yang berdaya saing serta prospek peningkatan keuntungan korporat.-BERNAMA