Antonelli terpantas, dalam sesi latihan pembukaan GP Austria

Foto AFP

SPIELBERG, 26 Jun – Pendahulu kejuaraan dunia, Kimi Antonelli, menampilkan aksi cemerlang apabila muncul pelumba terpantas dalam sesi latihan bebas pertama Grand Prix Austria.

RINGKASAN BERITA AI
  • Duo Mercedes menguasai sesi latihan, mengatasi pesaing dengan jurang lebih satu saat.
  • Oscar Piastri ketiga, Max Verstappen keempat, Lewis Hamilton kelima, masih berusaha cari rentak terbaik selepas kemenangan di Sepanyol.
  • Lando Norris terhad aksi akibat masalah hidraulik, hanya mampu menamatkan sesi di tempat ketujuh.
  • Beberapa pasukan memperkenalkan naik taraf jentera, manakala cuaca panas diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi kepada pelumba.

Sekali gus mengetuai dominasi pasukan Mercedes bersama rakan sepasukan, George Russell.

Pelumba muda berusia 19 tahun itu kini mendahului kejuaraan dengan kelebihan 41 mata ke atas juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton, yang menamatkan sesi di tempat kelima bersama Ferrari.

Kedua-dua pelumba Mercedes itu menguasai sepenuhnya sesi selama sejam di Litar Red Bull Ring, dengan Antonelli mencatat masa terbaik satu minit 7.796 saat, hanya 0.040 saat mengatasi Russell.

Mereka turut meninggalkan pencabar lain dengan jurang lebih satu saat.

Sementara itu, Oscar Piastri dari McLaren mencatat masa ketiga terpantas, diikuti juara dunia empat kali, Max Verstappen dari Red Bull di kedudukan keempat.

Hamilton mengakui masih bergelut mendapatkan rentak terbaik meskipun baru mencipta kemenangan sulung bersama Ferrari di Sepanyol, yang melonjakkan beliau ke tangga kedua keseluruhan.

Juara bertahan dunia, Lando Norris, pula berdepan nasib kurang baik apabila masalah hidraulik mengehadkan aksinya, menyebabkannya hanya menduduki tempat ketujuh.

Turut mencuri tumpuan ialah kehadiran pelumba muda Racing Bulls, Arvid Lindblad, yang menamatkan sesi dalam kelompok enam terbaik.

Sesi itu juga menyaksikan beberapa pasukan utama termasuk Mercedes, Red Bull dan McLaren memperkenalkan naik taraf jentera bagi menghadapi pusingan kelapan musim ini, dalam keadaan cuaca panas yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi kepada pelumba.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.