Jepun mampu kejutkan Brazil – Troussier

Foto AFP

TOKYO, 26 Jun – Bekas ketua jurulatih Jepun, Philippe Troussier menyifatkan perkembangan pasukan kebangsaan Japan di pentas Piala Dunia sebagai hasil usaha berterusan yang kini mula menampakkan hasil nyata.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jepun berkeyakinan tinggi, mampu mengejutkan Brazil walaupun mereka kekal pilihan utama.
  • Kehadiran ramai pemain Jepun di liga utama Eropah meningkatkan kualiti taktikal dan prestasi skuad.
  • Namun perlu kedalaman skuad lebih mantap untuk menewaskan lawan secara konsisten pada pusingan kalah mati.

Beliau berkata demikian menjelang aksi pusingan 32 menentang Brazil di Houston, Isnin ini.

Menurut Troussier, skuad Samurai Blue kini berada pada tahap keyakinan yang tinggi dan tidak mustahil mampu mencipta kejutan ke atas lima kali juara dunia itu, meskipun Brazil masih dianggap pilihan utama di atas kertas.

Beliau yang pernah mengendalikan Jepun pada Piala Dunia 2002 di Korea Selatan dan Jepun berkata, kemajuan ditunjukkan pasukan tersebut membuktikan mereka kini semakin menghampiri kelompok elit bola sepak dunia.

“Dalam satu perlawanan, segala-galanya boleh berlaku. Jepun mempunyai keyakinan, bakat serta perkembangan taktikal yang besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya kepada AFP.

Tambah beliau, kehadiran ramai pemain Jepun yang beraksi di liga utama Eropah seperti England, Sepanyol dan Jerman menjadi antara faktor utama peningkatan kualiti skuad berkenaan.

“Brazil sememangnya memiliki pemain berkualiti dan masih menjadi pilihan, namun mereka tetap mempunyai kelemahan yang boleh dimanfaatkan Jepun,” jelasnya.

Jepun sebelum ini tidak pernah gagal melayakkan diri ke Piala Dunia sejak penampilan sulung pada 1998, dan kini semakin berani menyasarkan pencapaian lebih tinggi di pentas dunia.

Namun begitu, Troussier berpendapat Jepun masih memerlukan kedalaman skuad yang lebih mantap bagi bersaing secara konsisten di peringkat tertinggi, khususnya dalam kejohanan kalah mati.

“Secara realistik, mereka masih kurang dari segi kedalaman untuk memenangi lima perlawanan berturut-turut di peringkat kalah mati. Mereka perlu terus berkembang, terutama pemain yang beraksi di Eropah,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa Jepun kini semakin hampir untuk menjadi kuasa besar bola sepak dunia, walaupun mungkin belum pada edisi kali ini. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.